PENGENALAN DAN FUNGSI BAHAGIAN INSTITUSI PELADANG / PEJABAT WAKIL PENDAFTAR PERTUBUHAN PELADANG SARAWAK


Bahagian Institusi Peladang di Jabatan Pertanian Sarawak adalah merupakan Pejabat Wakil Pendaftar Pertubuhan Peladang  di Sarawak.  Wakil Pendaftar yang telah dilantik adalah Setiausaha Tetap Kementeran Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sarawak melalui Arahan Pendaftar Pertubuhan Peladang Bil.3 Tahun 2001 . Pendaftar Pertubuhan Peladang telah mewakilkan kuasa kepada Wakil Pendaftar Pertubuhan Peladang Di Sarawak  semua kuasa-kuasa di bawah Akta Pertubuhan Peladang 1973 dan Peraturan-peraturan Pertubuhan Peladang 1983 kecuali menggantung perlembagaan dan membubarkan sesuatu Pertubuhan Peladang.

Bahagian ini berfungsi sebagai badan yang  menjalankan kerja-kerja pendaftaran, mengawasan  dan pengawalan  semua Pertubuhan Peladang di Sarawak. Bahagian ini juga bertanggungjawab bagi membangunkan Pertubuhan Peladang di Sarawak melalui beberapa komponen seperti berikut:
 
1.KOMPONEN PENGURUSAN PP
Komponen ini memberi fokus kepada pengurusan statutori Pertubuhan Peladang (PP), memastikan modal insan yang berketerampilan & berkeupayaan tinggi, merangka pendekatan supaya PP sentiasa beroperasi berlandaskan Akta dan Peraturan PP demi menjaga kepentingan wargakerja serta anggotanya.

Objektif komponen adalah untuk memastikan semua PP melaksanakan sistem pengurusan dan penyampaian yang bertepatan dengan tuntutan perundangan PP dan dasar kerajaan melalui inisiatif berikut :
  1. Pengauditan Pengurusan dan Kewangan (28 buah PPK)
  2. Menaiktaraf Sistem Perakaunan Pertubuhan Peladang (Versi Terkini)
  3. Mengadakan Latihan Modal Insan
  4. Menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk melaksanakan operasi PP
 
2. KOMPONEN PEMBANGUNAN PRODUK DAN KHIDMAT PEMASARAN PERTUBUHAN PELADANG
Komponen ini memberi fokus kepada pewujudan permintaan pasaran untuk produk-produk yang telah dan akan dibangunkan oleh Pertubuhan Peladang dan usahawan.
Komponen ini juga membantu pengedar dan pemasar bagi memperluaskan jaringan pemasaran dengan matlamat meningkatkan pendapatan.

Objektif komponen ini adalah untuk pembangunan produk dan khidmat pemasaran secara komprehensif bagi produk huluan dan hiliran yang terpilih sepanjang rantaian pengeluaran makanan melalui strategi perlaksanaan seperti berikut :
  1. Pemilihan produk yang berpotensi dan mendapat permintaan tinggi untuk dipasarkan.
  2. Menyedia dan menambahbaik premis, kemudahan dan peralatan serta logistik pemasaran.
  3. Menjalinkan kerjasama dalam pemasaran dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, pihak swasta dan usahawan peladang.
  4. Membangunkan produk berdasarkan segmen pasaran.
  5. Inovasi produk terutamanya yang mempunyai permintaan untuk niche market.
 
3. PEMBANGUNAN DAN PENGLIBATAN AHLI PERTUBUHAN PELADANG
Komponen ini memberi fokus untuk melahirkan, membimbing dan membudayakan keusahawanan pertanian di kalangan anggota peladang dalam aktiviti pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran. Peruntukan akan  digunakan untuk membiayai  kos aktiviti khidmat sokongan anggota dan usahawan PP.

Komponen ini juga adalah untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama inter dan intra agensi serta usahawan peladang. Aktiviti-aktiviti pengembangan, bimbingan, penggunaan teknologi yang bersesuaian serta pengiktirafan kepada anggota peladang dan Unit PP akan dipertingkatkan.

Objektif Komponen ini adalah untuk mewujudkan usahawan peladang melalui penglibatan anggota PP dalam program pembangunan pertanian secara tersusun dalam pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran hasil pertanian melalui beberapa strategi seperti berikut:
  1. Peruntukan untuk mengadakan semua mesyuarat pengurusan dan mesyuarat statutori – Mesyuarat Agung Tahunan (MAT), Mesyuarat Agung Unit (MAU), Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dan Mesyuarat Jawatankuasa Pertubuhan Peladang (PP).
  2. Membiayai kegiatan pembangunan modal insan untuk meningkatkan kompetensi berkenaan penguatkuasaan fungsi statutori pegawai di Pejabat Wakil Pendaftar/Bahagian Institusi Peladang, PPK dan anggota melalui penglibatan dalam kursus, latihan, majlis konvensyen, pesta-pesta, perayaan dan lawatan penanda aras di dalam dan luar negara. Ini termasuk pembiayaan kos penginapan, pengangkutan, honorarium atau profesional fee, yuran penyertaan, makan minum, sewaan dan kemudahan yang berkaitan dengan pembangunan modal insan anggota PP.
  3. Mengaktifkan Unit Peladang dengan membiayai pengurusan pentadbiran dan kegiatan pengembangan melalui kursus, latihan dan lawatan untuk Jawatankuasa Unit Peladang.
  4. Membiayai kos pengurusan proses timbang tara.
  5. Khidmat sokongan bagi membiayai pelaksanaan penyeliaan, pemantauan dan penilaian (IME).
 
4. PEMBANGUNAN PERNIAGAANTANI DAN PROJEK PERTUBUHAN PELADANG      
Komponen ini memberi fokus kepada pengukuhan aktiviti perniagaantani dan projek PP untuk menjadi badan perniagaan peladang yang berdaya saing dan mampan serta mampu memberi perkhidmatan bagi meningkatkan pendapatan anggota peladang.

Objektif komponen ini adalah bagi memperkukuhkan aktiviti perniagaan tani dan projek PP agar menjadi sebuah badan perniagaan peladang yang mampan melalui strategi perlaksanaan seperti berikut:
  1. Meningkatkan keupayaan aset PP dengan menyediakan premis perniagaan, kilang/pusat pemprosesan dan kemudahan untuk tujuan perkhidmatan dan perniagaan PP dan anggota Peladang.
  2. Menceburi perniagaan/pelaburan dalam projek pertanian komersial terpilih oleh PP atau secara usahasama di kalangan anggota Peladang, PP, anak syarikat PP dan swasta (anchor company).
  3. Mewujudkan lebih banyak projek berdaya maju di peringkat unit peladang melalui kaedah usahasama dan ladang kontrak di kalangan anggota Peladang, PP, anak syarikat PP dan swasta (anchor company).
  4. Memohon dan menerima bantuan modal luar untuk melaksanakan aktiviti perniagaantani bagi menjayakan projek-projek PP.