Unit Integriti

 

Unit Integriti


 LATAR BELAKANG
Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah untuk memantapkan integriti bagi menentukan penjawat awam menjunjung dan menegakkan prinsip integriti serta akauntabiliti ke arah mencapai sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cemerlang.

Ke arah itu, Kerajaan telah bersetuju mewujudkan Unit Integriti di semua agensi awam untuk memastikan penjawat awam mengamalkan budaya kerja unggul dengan ciri-ciri moral dan etika yang kukuh.  Inisiatif ini dapat membendung salahlaku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi di kalangan penjawat awam.

Sehubungan itu, Unit Integriti (UI) Jabatan Pertanian Sarawak telah ditubuhkan pada Januari 2020 selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan (PP) Bilangan 6 Tahun 2013 (PP6/2013): Penubuhan Unit Integriti di Semua Agensi Awam dan juga selaras dengan penubuhan Unit Integriti dan Ombudsman Negeri Sarawak pada tahun 2017.  Unit ini bertanggung jawab mengurus dan melaksanakan inisiatif-inisiatif penginstitusian integriti, pencegahan, pematuhan, pengesanan salahlaku tindakan punitif secara lebih fokus, terancang, efisien dan optimum selaras dengan PP Bil. 6 Tahun 2013.
 
FUNGSI UNIT INTEGRITI

Fungsi Unit Integriti Jabatan Pertanian Sarawak adalah selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 6 Tahun 2013 iaitu untuk melaksanakan fungsi teras seperti berikut:
  • Tadbir urus
Memastikan tadbir urus yang terbaik dilaksanakan oleh Jabatan,
  • Pengukuhan Integriti
Memastikan pembudayaan, penginstitusian dan pelaksanaan integriti dalam jabatan.
  • Pengesanan dan Pengesahan
Mengesan dan mengesahkan aduan salahlaku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika jabatan serta memastikan tindakan susulan yang sewajarnya diambil; dan melaporkan salahlaku jenayah kepada agensi penguatkuasaan yang bertanggung jawab.
  • Pengurusan Aduan
Menerima dan mengambil tindakan ke atas semua aduan / maklumat mengenai salahlaku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi.
  • Pematuhan
Memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa.
  • Tatatertib – Fungsi ini dilaksanakan oleh Bahagian Khidmat Pengurusan
Melaksanakan fungsi urus setia Lembaga Tatatertib kes yang berkaitan dengan salahlaku jenayah dan pelanggaran tatakelakuan dan etika Jabatan.  
 
 
HALA TUJU INTEGRITI JABATAN

Falsafah Integriti

Menjadikan integriti sebagai teras pemikiran dan tindakan dalam suatu budaya kerja warga Jabatan Pertanian Sarawak melalui amalan prinsip-prinsip profesional dan etika kerja.

Visi Integriti 

Integriti menjamin transformasi pertanian.

Misi Integriti

Menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang melalui pembudayaan integriti wargakerja dan tadbir urus terbaik.

Objektif Integriti

 
1)   Membangunkan modal insan yang berintegriti dan berakauntabiliti;
2)   Memantapkan tadbir urus dan pengurusan tatatertib; dan
3)   Meningkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan.
 

DASAR INTEGRITI
Jabatan Pertanian Sarawak beriltizam membudayakan pengurusan yang berintegriti dan berakauntabiliti di kalangan wargakerjanya.
 

PIAGAM INTEGRITI
Merahsiakan identiti pemberi maklumat.
Pengurusan aduan dibuat secara teliti dan menyeluruh.
Pengendalian kes-kes tatatertib dibuat secara teliti dan adil.
 

IKRAR INTEGRITI
Kami wargakerja Jabatan Pertanian Sarawak, dengan tulus hati berikrar memantapkan dan memperkukuhkan maruah perkhidmatan awam dengan mencegah dan membanteras segala bentuk rasuah, salah guna kuasadan  penyelewengan melalui tindakan-tindakan berikut:
  • Mematuhi sepenuhnya peraturan dan undang-undang serta mengamalkan Prinsip-prinsip Rukun Negara;
  • Meningkatkan kecekapan dan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi;
  • Mematuhi sepenuhnya nilai-nilai murni dan kod etika Jabatan dalam melaksanakan tugas;
  • Bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak untuk mencegah sebarang perlakuan jenayah, salahlaku dan perbuatan yang tidak berintegriti;
  • Menyokong dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menggugat integriti masyarakat dan negara;
  • Membudayakan integriti sebagai amalan hidup harian secara individu dan berpasukan.
 
 
PENGURUSAN ADUAN INTEGRITI
Pengurusan penerimaan maklumat / aduan mengenai salah laku jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran tatakelakuan dan etika Jabatan bagi memastikan tindakan diambil ke atas setiap aduan.  
  • Menyediakan Manual Prosedur Pengurusan Aduan Jabatan.
  • Menerima dan mendaftar aduan.
  • Mewujudkan Jawatankuasa Menilai Maklumat/ Aduan.
  • Memaklumkan kepada pengadu mengenai status aduan yang diterima.
  • Hebahan kepada semua kakitangan mengenai polisi-polisi dan manual yang diwujudkan dalam pengurusan aduan.
 

 
Nilai-nilai murni yang perlu diamalkan oleh wargakerja Jabatan Pertanian Sarawak adalah nilai-nilai sejagat yang dituntut oleh agama, kepercayaan, adat resam dan Nilai-nilai murni Jabatan Pertanian Sarawak adalahseperti berikut:

1. Amanah

  • Menyedari hakikat tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
  • Menghindari kepentingan diri daripada mengatasi kepentingan tugas.
  • Memastikan tiada penyelewengan dalam tugas sama ada dari segi masa, kuasa, sumberwang, peralatan serta tenaga kerja.
  • Mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa.

2. Tanggung jawab

  • Melakukan tugas dengan kesedaran implikasi baik dan buruk iaitu sentiasa berwaspada dan jujur;
  • Bersedia berkhidmat dan menghulurkan bantuan bila-bila masa sahaja masa diperlukan;
  • Bersedia untuk menjaga agama, bangsa dan negara;
  • Tidak mengkhianati kepentingan jabatan/ awam dalam menjalankan tugas.

3. Ikhlas

  • Berhati mulia menjalankan tugas tanpa mengharapkan balasan;
  • Niat menjalankan tugas untuk mencari rezeki yang halal;
  • Mengikis sebarang unsur “kepentingan diri” sebagai asas pengisian amanah.
  • Berusaha gigih untuk mencapai kesempurnaan tugas.

4. Benar

  • Jujur dalam melaksanakan tanggung jawab;
  • Bercakap benar dan menepati janji;
  • Cermat dan berhemat dalam membuat keputusan;
  • Bertindak berasaskan profesionalisme;
  • Patuh dan setia menjalankan tugas;
  • Sedia menerima teguran dan nasihat.

5. Bekerjasama

  • Mengamalkan sikap bekerjasama dan permuafakatan demi kepentingan bersama;
  • Mengorbankan kepentingan diri yang bercanggah dengan kepentingan organisasi, agama, bangsa dan negara;
  • Saling menghormati antara satu dengan yang lain;
  • Sikap toleransi tanpa mengira perbezaan latar belakang sesuatu kaum.
  • Berdisiplin
  • Menepati masa dan janji;
  • Mengamalkan cara kerja yang kemas dan terancang;
  • Mempunyai etika kerja yang profesionalisme yang tinggi;
  • Sentiasa menepati masa untuk menyelesaikan tugasan yang diberi

 7. Bersih

  • Mengamalkan kebersihan hati dalama menjalankan tugas;
  • Mengamalkan kebersihan sebagai satu cara hidup;
  • Bersih dalam pemilikan harta dan perjalanan tugas;
  • Menjauhi hawa nafsu dan emosi dalam membuat sebarang keputusan.

 8.  Berperibadi Mulia

  • Bertimbang rasa dan bertolak ansur;
  • Menghormati sesama insan;
  • Menegur secara berhemah;
  • Sebagai pemimpin yang adil dan saksama;
  • Mematuhi arahan ketua yang tidak bercanggah dengan peraturan dan undang-undang;
  • Bersikap positif dan sentiasa berusaha lebih gigih
  • Tidak berbangga dengan kedudukan dan pangkat;
  • Tidak membazirkan perbelanjaan untuk perkara yang sia-sia.
  • Tidak mementingkan diri sendiri.

 9. Profesional

  • Mempunyai komitmen yang tinggi, cekap dan tidak menggunakan kedudukan untuk kepentingan diri;
  • Bermotivasi dan berdaya saing serta berusaha memberikan yang terbaik.

10. Sederhana

  • Sifat yang menolak keterlaluan, berlebihan dan melampau;
  • Tidak boros dalam membelanjakan peruntukan kerajaan;
  • Tidak membazir dalam menggunakan peralatan dan kemudahan pejabat;
  • Tidak gopoh dalam membuat keputusan
  • Sentiasa berhati-hati dan berwaspada.
 

Kod Etika Kerja

Etika kerja adalah set amalan, sikap, sistem nilai dan norma terhadap pekerjaan yang perlu dilaksanakandengan penuh tanggung jawab.
Tujuan Kod Etika Jabatan Pertanian Sarawak (JP Sarawak) adalah seperti berikut:

  1. Menjadi panduan dan kawalan dalaman kepada warga JP Sarawak dalam melaksanakan tugasdan tanggungjawabnya;
  2. Meningkatkan profesionalisme warga JP Sarawak, kualiti perkhidmatan dan akauntabiliti sertakeberkesanan pengurusan JP Sarawak;
  3. Membudaya dan memantapkan integriti warga JP Sarawak bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Kod Etika Warga Jabatan Pertanian Sarawak : 

  1. Memberi taat setia kepada Yang Di-Pertuan Agong, Negara dan Kerajaan
  2. Sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan arahan yang berkuatkuasa sepanjang tempoh bekhidmat;
  3. Sentiasa menjaga nama dan imej Jabatan;
  4. Wargakerja dilarang terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral atau aktiviti yang bolehmencemarkan imej Jabatan dan Kerajaan amnya;
  5. Wargakerja dilarang memakai pakaian mencolok mata / kurang sesuai dan hendaklah memakai uniform yang dibekalkan semasa menjalankan tugas-tugas rasmi;
  6. Hendaklah menggunakan aset dan harta kerajaan dengan cermat bagi mengelakkan kecurian,kerosakan dan kerugian kepada kerajaan;
  7. Wargakerja dilarang menggunakan aset dan harta kerajaan untuk kepentingan peribadi
  8. Memastikan maklumat dan dokumen terperingkat terpelihara dan tidak berlaku sebarang kebocoran maklumat dan tidak digunakan untuk kepentingan peribadi;
  9. Menyimpan dokumen terperingkat di tempat selamat seperti digariskan dalam Arahan Keselamatan Kerajaan;
  10. Menghadirkan diri bertugas mengikut masa yang ditetapkan dan mendapatkan kelulusan Ketua Jabatan jika meninggalkan tempat bertugas semasa bertugas;
  11. Mengesahkan kehadiran bertugas dengan menandatangani buku kehadiran atau mengetik kad perakam waktu bagi tujuan rekod kehadiran;
  12. Wargakerja dilarang meninggalkan pejabat atas urusan peribadi tanpa mendapat kebenaran ketua jabatan;
  13. Wargakerja dilarang hadir lewat ke tempat bertugas tanpa kebenara ketua jabatan;
  14. Wargakerja hendaklah mengisytiharkan harta termasuk maklumat isteri / suami dan anak-anak dan mengemaskini setiap lima tahun;
  15. Wargakerja hendaklah mengamalkan perbelanjaan berhemah dan tidak berbelanja secara berlebihan melebihi jumlaha pendapatan serta mengelakkan diri daripada keberhutangan kewangan yang serius.
  16. Wargakerja hendaklah memohon kebenaran secara bertulis daripada Ketua Jabatan bagi menjalankan pekerjaan luar yang mendatangkan imbuhan kewangan dengan syarat tidak menjejaskan prestasi kerja hakiki serta tidak menjalankan kerja luar dalam waktu bekerja;
  17. Wargakerja hendaklah mendapat kebenaran ketua jabatan apabila menjadi anggota biasa mana-mana parti politik;
  18. Wargakerja (Kumpulan Sokongan) hendaklah mendapat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak sekiranya ingin bertanding atau memegang jawatan dalam suatu parti politik;
  19. Wargakerja (Kumpulan Pengurusan dan Profesional) dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti politik;
  20. Wargakerja dilarang menghebah atau menerbitkan apa-apa pernyataan awam berhubung dengan apa-apa dasar, program dan keputusan kerajaan melalui apa-apa bentuk media tanpa kebenaran bertulis daripada Menteri terlebih dahulu;
  21. Wargakerja dilarang menyertai sebarang perhimpunan haram atau apa-apa bentuk gerakan yang mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan negara;
  22. Wargakerja dilarang menerima atau memberi apa-apa hadiah; membenarkan isteri atau suami atau mana-mana orang lain menerima atau memberikan bagi pihaknya apa-apa hadiah sama ada secara langsung atau tidak langsung berkaitan dengan/ bentuk/ amaun/ nilai hadiah tidak sepadan dengan maksud hadiah;
  23. Wargakerja hendaklah melaporkan kepada ketua jabatan mengenai sebarang pemberian hadiah;
  24. Wargakerja dilarang menggunakan pengaruh luar atau mengemukakan apa-apa surat sokongan bagi menyokong sesuatu permohonan atau mempengaruhi pertimbangan keputusan;
  25. Wargakerja dilarang melakukan gangguan seksual sama ada secara lisan, bukan lisan, visual danfizikal sehingga seseorang berasa tersinggung atau terhina dengan perlakuan tersebut;
  26. Wargakerja dilarang mengambil atau menjual apa-apa dadah berbahaya kecuali yang dipreskrip untuk kegunaan perubatan;
  27. Wargakerja dilarang menerima apa-apa jenis suapan sebagai upah atau dorongan untuk melakukan atau tidak melakukan perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi;
  28. Wargakerja dilarang mengemukakan dokumen palsu untuk memperdayakan prinsipalnya;
  29. Wargakerja dilarang menggunkan kedudukan untuk apa-apa suapan;
  30. Wargakerja dilarang melakukan apa-apa kegiatan ajenayah dan menyembunyikan apa-apa prosiding jenayah terhadap dirinya daripada ketua jabatan;
  31. Wargakerja hendaklah mematuhi piagam pelanggan bagi menjamin penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan berkesan;
  32. Wargakerja hendaklah memberikan perkhidmatan dengan mesra, bersopan santun, berbudi bahasa dan sentiasa senyum kepada pelanggan;
  33. Wargakerja hendaklah membantu dan memudahcara perkhidmatan pelanggan tanpa sebarang diskriminasi kaum, bangsa dan agama;
  34. Wargakerja hendaklah menjaga privasi pelanggan dan tidak mendedahkan kerahsiaan pelanggan kepada pihak lain