Penyakit Bintik Putih Udang Laut


PENYAKIT BINTIK PUTIH UDANG LAUT

 

Latarbelakang

Penyakit Bintik Putih pada udang disebabkan oleh sejenis virus iaitu " Systemic Ectodermal dan Mesodermal Baculovirus (SEMBV) " yang mula dikesan pada udang putih ( Panaeus chinensis ) di China dalam tahun 1993.  Jangkitan virus yang sama juga telah dikesan menyerang udang putih ( Penaeus merquiensis,        P Indicus ) dan udang harimau ( Penaeus monodon ) di India (1994), Taiwan, Jepun, Indonesia dan Thailand.

Di Malaysia, penyakit ini telah dikesan pada hujung tahun 1995 di Kedah.  Pada awal 1996, penyakit ini merebak ke Perak, Selangor, Johor, Terengganu dan Sabah (1998) yang telah mengakibatkan wabak di seluruh Negara.  Penternak udang di Sarawak dan Sabah perlulah mengambil sikap berjaga-jaga dengan lebih serius kerana udang tidak terkecuali daripada jangkitan penyakit ini.  Serangan penyakit bintik putih telah menyebabkan kerugian yang tinggi kepada para penternak udang dan dikhuatiri ia akan mengancam pembangunan akuakultur Negara.

 

Cara Jangkitan

Ia merupakan penyakit yang boleh merebak melalui air di mana mudah didapati agen pembawa seperti zooplankton, ketam krustasean lain.  Burung juga boleh menjadi pembawa melalui najisnya.

Tanda Awal Jangkitan

  • Udang kelihatan lemah dan tidak aktif.
  • Udang akan timbul di permukaan air, berenang dan berkumpul di sekeliling kolam dan ini memudahkannya untuk ditangkap atau diserang oleh pemangsa.
  • Hilang selera makan.

Tanda-tanda Klinikal

  • Warnanya bertukar menjadi pucat atau kemerahan.
  • Bintik-bintik putih berukuran 0.5 mm - 2.0 mm garispusat muncul terutamanya di bahagian permukaan bawah kulit kepalanya (carapace) dan di hujung ekor.  Akhirnya, seluruh tubuh udang akan diselaputi oleh bintik putih.
  • Udang akan mati kalau seluruh badannya sudah dijangkiti oleh penyakit bintik putih ini.
  • Kematian akan berlaku secara beransur-ansur hingga mencapai 100% dalam tempoh:
        2-3 hari pada anak udang, 
        3-10 hari pada udang dewasa.
  • Jangkitan yang serius akan menyebabkan perut udang mengecut dan insangnya rosak

Rawatan

  • Tiada rawatan setakat ini.

Pengawalan Penyakit

Udang Berpenyakit dan Penghapusan

Para penternak disyorkan supaya memungut atau menangkap udang yang sudah mencapai saiz pasaran bila terdapat tanda-tanda awal jangkitan.  Udang yang dijangkiti penyakit hendaklah dimusnahkan dengan sepenuhnya sama ada denga menimbusnya ke dalam tanah atau dibakar.  Jangan sama sekali membuang udang yang dijangkiti penyakit bintik putih ke dalam sungai atau kawasan air terbuka.

Kolam Berpenyakit

Penternak hendaklah menjalankan pembersihan mengikut prosedur-prosedur berikut:

  • Jangan alirkan air keluar dari kolam berpenyakit.
  • Masukkan klorin (Calcium hypochlorite dengan 60% bahan aktif) pada kadar 300kg/ha dan biarkan sekurang-kurangnya 72 jam sebelum kolam dikeringkan.
  • Keringkan kolam dan biar terdedah kepada matahari selama dua minggu hingga dasar kolam betul-betul kering.  Sedimen yang kering dikumpul dan dibuang.
  • Penternak dinasihatkan supaya memberhentikan aktiviti ternakan sekurang-kurangnya 3-4 bulan sekiranya kolam mereka dijangkiti penyakit bintik putih bagi mengelakkan jangkitan yang lebih teruk.  Berhubung dan minta nasihat dengan Bahagian Perikanan Darat, Jabatan Pertanian sebelum memulakan ternakan baru.

Amalan Ternakan Yang Baik bagi Mencegah Penyakit Bintik Putih Udang Laut

  • Rawat air dengan Klorin (Calcium hypochlorite dengan 60% bahan aktif) pada kadar 300kg/ha selama 72 jam sebelum digunakan.
  • Air hendaklah ditukar pada kadar sekurang-kurangnya 10% sehari.
  • Bacaan Secchi-disc mestilah di antara 30sm-40sm.
  • Kandungan oksigen terlarut hendaklah tidak kurang dari 4 mg/1.
  • Kadar penstokan benih yang tinggi akan menggalakkan jangkitan penyakit.  Kadar penstokan yang disyorkan ialah TIDAK MELEBIHI 30 ekor/m2.
  • Gunakan makanan berkualiti.  Jangan gunakan makanan yang sudah lama dan berkulat.
  • Keselamatan hayat sekuritibio, (contohnya: jangan biarkan anjing bebas merayau di sekeliling kolam).  Amalan ini adalah tidak sesuai dan tidak baik.

Picture


  [ atas ]