Mengurus Ancaman Siput Gondang Pomacea


MENGURUS ANCAMAN SIPUT GONDANG POMACEA

Picture

>> Siput sedang memakan daun padi 

 

Picture

>> Edaran Hidup Siput Pomacea 

PENGENALAN
 

Siput gondang pomacea akan terus wujud di Sarawak. Maka adalah penting untuk kita mencegah siput ini dari terus merebak dan menyesuaikan diri dengan kewujudan mereka. Siput ini merebak dengan meluas kerana ia dibawa masuk dan diternak sebagai bahan makanan. Ini dibuktikan dengan kewujudan siput ini dikawasan kem pembalakan dan estet-estet kelapa sawit.

Jika kewujudan siput ini dikesan awal, pembasmian dapat dijalankan dengan efektif untuk mengelakkan ia dari merebak. Ini adalah kerana seekor siput betina boleh bertelur sehingga 1 juta biji setahun dan ini akan mengakibatkan kemusnahan yang besar.

Pembasmian hanya akan berkesan ke atas kawasan yang mempunyai keluasan 1 hektar dan jika ia sudah merebak ke dalam sungai, adalah mustahil untuk membuat pembasmian. Siput ini juga boleh bersembunyi di dalam tanah semasa cuata kering.

PENDEKATAN BERSEPADU DALAM PENGURUSAN SIPUT GONDANG POMACEA

Objektif utama pengurusan siput gondang ini adalah untuk mengurangkan populasinya. Ini dapat mengurangkan kerosakan anak benih padi pad tahap yang terkawal.

Pendekatan terbaik adalah melalui kaedah Pengurusan Projek Bersepadu yang meliputi:

A. Kawalan Kultura
B. Biologi dan
C. Kimia
A. Kawalan Kultura
A1. Mengutip Secara Manual

Picture

>> Kutip dan musnahkan telur siput (Collect and destroy the eggs)


Aktiviti mengutip siput dan telurnya hendaklah dilakukan seberapa kerap yang boleh kerana dalam satu kelompok, terdapat sehingga 500 biji telur. Populasi siput dewasa mesti dikurangkan sebanyak yang mungkin sebelum anak benih padi diubah. Umpan seperti daun ubi, daun betik dan daun gliricidia boleh digunakan untuk memudahkan pengumpulan. Selepas 24 jam siput boleh dikutip dan dimusnahkan.
A2. Membajak Sawah Padi
Cara ini disyorkan untuk sawah padi yang kering. Pembajakan tanah akan mendedahkan siput kepada cahaya matahari dan mati.
A3. Membiarkan Sawah Dalam Keadaan Kering
Siput tidak dapat bertelur atau membiak dalam keadaan yang kering. Biarkan sawah kering selepas menuai.
A4. Menggunakan Perangkap


Picture

>> Memasang perangkap (Laying Trap)


Perangkap ini diperbuat dari wayar 'mesh' berukuran 2 mm atau kurang. Perangkap buluh tradisional juga boleh digunakan. Letakkan pereangkap di laluan air mengalir seperti parit kecil untuk mencegah pergerakkan siput ke sawah lain. Periksa perangkap 2 kali sehari atau sekurang-kurangnya sekali sehari untuk mengelakkan ia dari tersekat.
A5. Kebersihan Mesin dan Haiwan
Adalah penting untuk mengawal dan mencegah permindahan siput atau telurnya dari kawasan yang telah diancam ke kawasan yang masih bebas. Oleh itu, pastikan haiwan, mesin atau jentera yang digunakan bebas dari siput atau telurnya sebelum dibawa keluar agar ia tidak membawa siput atau telurnya bersama.
A6. Menanam Anak Benih Padi Matang dan Mengawal Paras Air

Menggunakan anak benih padi yang berumur 30-40 hari sesuai ditanam pada paras 1 inci selama 3 minggu. Pada kedalaman ini, siput dewasa tidak dapat bergerak aktif. Selepas 3 minggu, paras air boleh dinaikkan lagi ke 5 inci.

Untuk anak benih padi yang berumur 40 hari, kedalaman air hendaklah berada pada paras 2 inci, pada masa ini batang dan daun anak benih padi ini agak keras dan tidak menarik perhatian siput.

Pada peringkat padi bunting, paras air boleh dinaikkan sedalam 4 inci atau lebih kerana daun padi sudah keras dan tidak dimakan siput.

B. Kawalan Biologi

Picture

>> Kawalan Biologi Menggunakan Itik (Biological Control Using Ducks)


Itik digunakan pada kadar 5-10 ekor sehektar. Baka-baka itik yang disyorkan ialah William Siam, Taiwan, Mallard Peking, Khaki Campbell dan Muscovy. Di Sarawak, baka itik Peking dan Muscovy boleh didapati.

Masa yang sesuai untuk melepaskan ituk:

  • Selepas musim menuai
  • Semasa penyediaan tanah dan apabila air mula dimasukkan ke dalam sawah
  • 4 minggu selepas pemindahan anak benih padi ke sawah atau 6 minggu selepas penanaman terus. Ini adalah untuk mencegah kerosakan ke atas anak benih padi.
C. Kawalan Kimia

Picture

>> Siput mati akibat memakan racun (Dead snails after chemical control)


Kawalan kimia digunakan apabila populasi siput semakin meningkat dan kurang tenaga kerja untuk mengutip siput. 'Tea Seed Powder' dan 'metaldehyde 5%' boleh digunakan.
C1. Tea Seed Powder
Digunakan apabila populasi siput mencapai 5 ekor untuk setiap 1 meter persegi dan kekurangan tenaga buruh untuk melakukan kawalan kultura. Masukkan air ke dalam sawah untuk mendorong siput yang di dalam tanah naik ke permukaan. Pastikan kedalaman air sekurang-kurangnya 2 inci dan air tidak mengalir keluar semasa serbuk ditabur. Serbuk ini berkesan selama 4 hari, selepas itu penanaman boleh dilakukan. Kadar penggunaan adalah 51 kg/ha.
C2. Metaldeyde 5%

Ia boleh digunakan sebagai alternatif terutama di kawsaan pendalaman yang mengalami masalah kemudahan logistik. Kadar penggunaan adalah pada kadar 15 kg/ha. Penanaman boleh dilakukan 2 hari selepas itu.

Nota: Bayluscide boleh digunakan pada kadar 315 gm /180 liter air di dalam sehektar sawah padi asalkan ia tidak memberi kesan kepada hidupan air seperti ikan di dalam sawah dan punca air ke sawah. Ia boleh digunakan untuk tujuan pembasmian di kawasan baru yang diancam. Saiz yang sesuai ialah 1 ha atau kurang.

 
3. Mengurus Ancaman Siput
 
Sebagai peringatan, langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk menangani masalah siput ini. Di kawasan penanaman padi sawah, petani harus mengambil perhatian yang serius jika siput ini wujud di kawasan mereka.
3.1 Kawasan Yang Belum Diancam

Pastikan jentera, mesin atau binatang ternakan (lembu atau kerbau) bersih atau bebas dari siput atau telurnya sebelum ia dibawa masuk ke kawasan yang masih bebas.

Periksa semua punca air seperti parit, sungai, lopak, kolam dan sebagainya selepas banjir untuk mengetahui kewujudannya.

Mengadakan program kesedaran tentang bahaya ancaman siput ini ke atas penanaman padi sawah dan cara pengenalannya (ciri-ciri siput). Menekankan betapa pentingnya laporan awal dibuat agar langkah pembasmian dapat dibuat. Mengedar risalah, poster di kawasan yang strategik, terutama di kawasan penanaman padi.

3.2 Kawasan Yang Sudah Diancam

Objektif dalam pengurusan kawasan yang sudah diancam adalah untuk mengurangkan populasi siput kepada tahap yang paling minima.

Cara kawalan yang paling sesuai adalah dengan melakukan pendekatan bersepadu seperti yang diterangkan di atas, amalkan kawalan kultura dan biologi sebelum menggunakan kawalan kaedah kimia sebagai langkah terakhir.

PENUTUP

Siput ini merupakan perosak utama padi sawah. Ia boleh membiak, merebak dan merosakkan padi dengan cepat.

Siput betina dewasa mula bertelur apabila ia mencapai umur 2 minggu. Setiap kali bertelur, ia boleh menghasilkan sehingga 500 biji telur dalam satu kelompok. Ketiadaan musuh semulajadi, seekor siput betina boleh membiak dan bertelur sehingga 1 juta telur dalam setahun.

Bila keadaan sawah kering, ia boleh bersembunyi di dalam tanah sehingga 8 minggu dan kembali semula ke permukaan tanah apabila air dimasukkan ke dalam sawah.

Telur siput gondang pomacea berwarna merah jambu dalam satu kelompok. Siput betina bertelur di atas permukaan air seperti tiang jambatan, batang padi, batang kayu dan sebagainya di atas permukaan air. Oleh itu, siput dan kelompok telur hendaklah dikutip dan dimusnahkan untuk mengurangkan populasinya.

[ atas ]

Sumber: Cawangan Perlindungan Tanaman