Tanaman Terus Padi


AMALAN-AMALAN TANAMAN TERUS PADI

Tanaman terus padi ialah satu amalan tanaman di mana biji-biji benih padi ditabur terus ke sawah. Biji-biji benih akan bercambah, dijaga sehingga pokok-pokoknya besar dan matang. Dengan amalan tanaman terus, pengubahan anak semaian padi tidak perlu seperti yang terdapat dalam amalan biasa.

Amalan tanaman terus padi boleh diusahakan dalam keadaan kering dan basah atau separuh basah. Cara menanam boleh dibahagikan kepada 2 cara, iaitu secara tabur dan dengan menggunakan jentera penanam biji. Dalam keadaan kering, kedua-dua cara (tabur dan dengan jentera penanam biji) boleh diusahakan. Tetapi di dalam keadaan basah atau separuh basah, tanaman terus secara tabur adalah lebih sesuai.

Berikut adalah kebaikan dan keburukan cara-cara menabur dan menanam dengan jentera:

CARA TABUR

Sesuai untuk kedua-dua keadaan basah dan kering.

 
Tabur terus dengan tangan
- mudah diuruskan
- sesuai untuk kawasan kecil
- taburan tidak serata
- kekosongan dibekas-bekas alur jalan semasa menabur
 
Mesin Penabur Kuasa Tangan
- tabur serata
- hanya menggunakan tenaga pusingan tangan
- kekosongan dibekas alur jalan semasa menabur
 
Mesin Penabur Berinjin
- tabur serata
- taburan seperti dari ruangan udara
- lebij cepat (25 min/ha)
 
Taburan Dari Ruangan Udara Dengan Pesawat Udara
- cepat dan sesuai untuk kawasan luas
- pada amnya kadar benih digunakan lebih banyak
- cara ini masih belum diamalkan tetapi berpotensi
 

CARA MENANAM DENGAN MESIN

Sesuai untuk keadaan kering.

 
Tugalan atau Jemput (selepas membuat alur dengan mesin)
- mengambil masa yang lama
- banyak tenaga dan rumit
- jarak tanaman tidak serata
- kadar biji semata rumpun tidak serata
 
Mesin Penanam Biji
- boleh disangkutkan ke belakang mesin pembajak putar
- penyediaan tanah dan penanaman dijalankan sekaligus
- sesuai untuk tanaman berbaris
- cepat dan kemas
- masalah kegelinciran dan lekatan lumpur di tanah basah
 

Mesin-mesin Lain Yang Boleh Digunakan:

  • Mesin injector planter
  • Mesin fluid driller
- mempercepatkan percambahan biji benih untuk mengatasi pembiakan rumpai
- mengambil masa dan berkehendakan kemahiran
- tidak sesuai dalam keadaan basah

 

KEADAAN SESUAI UNTUK TANAMAN TERUS PADI

Tanaman terus padi memerlukan beberapa keadaan tertentu seperti infrastruktur pengairan yang lengkap, kesesuaian tanah dan kawalan rumpai serta musuh yang ketat untuk menjamin kejayaannya.

Infrastruktur Pengairan Yang Lengkap

Pengurusan air yang betul sangat penting di beberapa peringkat tanaman. Pengurusan air yang tidak betul bukan hanya mengganggu percambahan tetapi juga mempengaruhi pembiakan rumpai, musuh-musuh tanaman dan kerosakan permukaan tanah daripada kesan roda semasa menuai dengan jentera penuai. Infrastruktur yang lengkap ialah sistem perparitan pengairan serta pengaliran yang boleh mengawal paras air dengan tepat.

Untuk kawalan air yang lebih cepat, parit-parit kecil sedalam dan selebar 0.5m di sekeliling petak boleh mengawal paras air dengan memuaskan.

Jika permukaan tanah tidak rata di kawasan yang luas, parit-parit tambahan atau alur-alur mengalirkan takungan air mesti dibina supaya gangguan kepada percambahan benih boleh dielakkan.

Kesesuaian Tanah

Jika tanaman terus dilakukan dalam keadaan kering, tanah mestilah mudah dihancurkan. Tanah-tanah ringan yang tidak menjadi ketul-ketul besar dan keras semasa dibajak akan memberikan kambusan yang baik kepada benih-benih dan melindunginya daripada musuh-musuh. Di kawasan-kawasan tanah yang berat seperti tanah liat, dan pengaliran air yang kurang cepat, tanaman terus secara tabur dalam keadan basah adalah lebih sesuai. Tanah yang berat ini mudah diusahakan dalam keadaan basah dan tidak akan menjadi ketul-ketul. Penyerapan airnya perlahan, oleh itu permukaan tanah perlu diratakan untuk mengurangkan takungan-takungan air yang akan mengganggu percambahan.

Kawalan Rumpai

Kawalan rumpai yang berkesan adalah satu daripada punca kejayaan tanaman terus padi.

Oleh sebab rumpai membiak dengan cepat dalam sebarang keadaan, percambahannya mesti diganggu sehingga pokok padi menjadi sudah besar dan dapat menberi naungan untuk mengawal pembiakan rumpai itu. Satu daripada cara kawalan rumpai yang berkesan ialah melalui penyediaan tanah yang sempurna. Selain daripada mengawal rumpai, pembalikan lapisan tanah juga akan menambahkan organan ke tanah.Di kawasan yang sentiasa diusahakan, pembiakan rumpai biasanya kurang, dan kawalan secara penyediaan tanah yang sempurna boleh mengatasi masalahnya nanti.

Untuk kawasan yang mempunyai rumpai yang tebal, kawalan menggunakan racun herba mungkin perlu. Berdasarkan kepada ketebalan rumpai, satu atau dua pusingan semburan paraquat (@ 2 liter/ha atau lebih) perlu dibuat sebelum tanah diusahakan dan ditanam. Walau bagaimanapun, usaha kawalan rumpai mesti ditentukan keberkesanannya sebelum benih ditabur atau atau ditanam kerana kawalan selepas menanam sungguh merumitkan. Kawalan selepas menanam ialah kawalan rumpai yang membiak dalam keadaan berair. Jenis-jenis rumpai ini seperti rumpai berdaun lebar yang biasanya boleh dikawal dengan semburan racun herba 2,4-Dbutyl ester sebanyak 2 kg/ha 30-35 hari selepas penanaman/ penaburan.

Kadar Benih dan Jenis Padi

Kadar benih yang digunakan sekarang ialah 40-100 kg sehektar, tertakluk kepada cara tanaman. Jika tanaman terus dengan mesin diusahakan, kadar benih ialah 40 kg/ha dan jika ditabur kadar benihnya boleh ditinggikan hingga ke 100kg/ha. Tujuan meninggikan kadar benih ialah untuk meninggikan bilangan pokok tanpa pembiakan rumpun dan untuk kawalan rumpai secara menaungkan keadaan sekeliling.

Jenis padi yang digunakan sekarang ialah jenis biasa yang didapati sesuai seperti MR-1 (Setanjung) dan MR-10 (Sekembang).

Rawatan Biji-Biji Benih

Untuk menjamin percambahan yang serata, cepat dan bermut, biji padi perlu dipilih supaya benih yang bernas sahaja ditanam. Satu daripada tujuannya ialah untuk menpercepatkan percambahan, dengan itu pokok-pokok padi boleh membiak lebih cepat sebelum benih-benih rumpai membiak.

Pilihan benih yang bernas boleh dibuat melalui perasingan atau tapisan dengan menggunakan bancuhan air garam yang boleh menimbulkan sebiji telur ayam (@1.08SG). Untuk mengawal penyakit yang terdapat pada biji-biji, benih boleh direndam dalam air panas pada suhu 54-55 darjah celcius selama 10 minit.

Benih kemudian boleh dipracambah mengikut kegunaannya. Biasanya, benih pracambah digunakan jika tanaman terus secara tabur diamalkan. Untuk benih pracambah, benih mesti direndam selama 6 jam dan kemudian diperam dalam keadaan lembab selama 42 jam.

Pembajaan

Kadar dan masa pembajaan dalam amalan tanaman terus adalah penting untuk menentukan mutu hasilnya. Kadar dan masa pembajaan yang diamalkan untuk tanaman terus sekarang ialah seperti berikut:

Baja Kadar N Masa Membaja
Baja Asas (Campuran) 30 kg/ha 15 hari selepas tanam
15:15:7.5 Pembajaan Permukaan 1(Urea) 20 kg/ha 35 hari selepas tanam
Pembajaan Permukaan 2 (Urea) 20 kg/ha 55 hari selepas tanam
Pembajaan Permukaan 3 (Urea) 20 kg/ha 75 hari selepas tanam

Kadar baja ini tertakluk kepada kesuburan tanah setiap kawasan. Pada umumnya kadar NPK 90:30:30 kg/ha didapati mencukupi.

Kawalan Musuh dan Serangga

Disebabkan kadar benih untuk tanaman terus adalah 2 hingga 4 kali ganda daripada kasar benih tanaman biasa, jumlah pokok padi yang membiak juga bertambah. Kedaan ini meninggikan naungan kepada mush tanaman seperti tikus dan serangga.

Untuk mengelakkan daripada serangan-serangan tersebut langkah yang perlu diambil ialah:

- membersihkan kawasan sekeliling supaya tempat-tempat perlindungan musuh termusnah
- amalkan kawalan lebih awal bagi tujuan mencegah. Pencegaha awal bagi tikus didapati amat berkesan.

 

Untuk serangan ulat serangga, gunakan bahan pencegah kimia carboruran dengan kadar yang biasa diamalkan untuk alat batang dan penyakit merah.

Kadar Masa Menggunakannya
0.5 kg/bahan aktif/ha 15 hari selepas tanam
0.5 kg/bahan aktif/ha 30 hari selepas tanam

Penuaian

Kira-kira 30 hari sebelum menuai, kawasan mesti dikeringkan untuk membolehkan jentera penuai lengkap menjalankan kerja-kerja menuai. Tujuan mengeringkan sawah ialah untuk mengelakkan kerosakan permukaan tanah daripada bekas-bekas roda ini akan merumitkan kerja-kerja meratakan tanah. Padi tanaman terus boleh juga dituai dengan tangan.

 

| Atas |