Agropark, Pertanian Pintar Perkukuh Pengeluaran Makanan Sarawak
Posted on 21 Nov 2026
Source of News: UKAS
SEBAUH: Pembangunan Agropark yang dirancang bermula pada 2027 bakal menjadi antara langkah strategik Jabatan Pertanian Sarawak dalam memperkukuh pengeluaran makanan negeri menerusi pembangunan infrastruktur pertanian, penggunaan teknologi moden dan pemerkasaan kemahiran komuniti tani.
Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Datu Dominic Chunggat berkata, pembangunan Agropark akan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan infrastruktur, logistik serta pengurusan kawasan pertanian secara lebih sistematik bagi meningkatkan produktiviti dan hasil pengeluaran.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) 2026 di Rumah Tometty Belayong Jembat, Sungai Selezu Pandan, Sebauh pada Khamis.
Menurutnya, pembangunan Agropark akan merangkumi pelbagai aktiviti pertanian termasuk penanaman melon, jagung dan nanas serta penternakan ikan bagi mempelbagaikan sumber pengeluaran makanan.
Dalam usaha memperluas penggunaan teknologi moden, Jabatan Pertanian turut merancang pembangunan pusat latihan pertanian sebagai hab pembelajaran untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kaedah pertanian pintar.
Antara bidang latihan yang bakal ditawarkan termasuk hidroponik, penanaman cendawan, ternakan ikan menggunakan tangki kanvas serta penerapan teknologi Internet of Things (IoT) dan precision farming.
Selain itu, pembangunan sektor perikanan turut diberi perhatian menerusi usaha pembiakan ikan tapah, termasuk penyediaan induk ikan (broodstock) bagi meningkatkan pengeluaran benih untuk memenuhi keperluan industri.
Dalam pada itu, Datu Dominic menggalakkan petani mendaftar menerusi sistem e-Tani bagi memastikan maklumat berkaitan aktiviti pertanian direkodkan secara menyeluruh dan sistematik.
Katanya, maklumat seperti keluasan tanah, jenis tanaman, penanaman padi bukit dan aktiviti penternakan ikan penting bagi membantu kerajaan mengenal pasti keperluan sebenar petani, sekali gus memastikan bantuan serta pelaksanaan projek pertanian dapat disasarkan kepada golongan yang layak.
Beliau turut menegaskan kepentingan pemantauan berkala oleh pegawai pertanian bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan berjalan mengikut perancangan dan mencapai sasaran ditetapkan.
AgriCOP merupakan inisiatif Jabatan Pertanian Sarawak untuk mendekatkan perkhidmatan jabatan kepada masyarakat, khususnya menerusi penyampaian pengetahuan, khidmat nasihat serta sokongan bagi memperkasa pembangunan sektor pertanian di peringkat komuniti.- EDISI UKAS