RM1 Bilion Untuk Keterjaminan Makanan Sarawak Dibawa Ke Kabinet

Disiarkan pada 28 Sep 2026
Sumber Berita: UKAS
Edisi Ukas Image

BINTULU: Cadangan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi mempercepat pembangunan sektor makanan khususnya pengeluaran padi di Sarawak akan dibawa ke Kabinet Pusat untuk pertimbangan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peruntukan berkenaan penting dalam menyokong usaha meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negara, dengan Sarawak berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam pengeluaran komoditi makanan strategik itu.

“Kita menyedari kalau Sarawak mampu menghasilkan (beras) cukup untuk Sarawak maknanya negeri itu dapat membantu Tahap Sara Diri (SSL) negara.

“Jadi bagi permohonan tambahan RM1 bilion, sudah tentu saya akan membawa pekara ini kepada kabinet untuk dipertimbangkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Sarawak Agrofest 2026 yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Lapangan Terbang Lama Bintulu pada Isnin.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Datuk Patinggi Abang Zohari menyatakan kesediaan Kerajaan Sarawak melaksanakan pendekatan ‘one-to-one’ bagi peruntukan tambahan sekiranya Kerajaan Persekutuan turut menyediakan jumlah yang sama, iaitu RM1 bilion.

Menurut beliau, peruntukan tersebut mampu mempercepat pembangunan infrastruktur berkaitan pengeluaran padi, khususnya sistem pengairan dan saliran yang memerlukan pelaburan besar serta tempoh pembangunan yang panjang.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya sedang mengusahakan tambahan peruntukan daripada Kementerian Kewangan bagi memperkukuh keterjaminan makanan, terutama dalam menghadapi kemungkinan fenomena El Nino pada tahun ini dan tahun hadapan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan menyokong usaha Kerajaan Sarawak dalam mentransformasikan sektor agro, termasuk menerusi penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti.

“Penekanan Premier Sarawak terhadap teknologi moden amat penting kerana jika masih menggunakan kaedah lama, usaha untuk mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus SSL akan menjadi sukar dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang.

“Kita akan mencari jalan untuk memberi sokongan sepenuhnya usaha ini,” jelasnya. -EDISI UKAS