Bantuan Baja Perkasa Penanam Limau Bintangor Di Meradong
Disiarkan pada 12 Sep 2026
Sumber Berita: UKAS
MERADONG: Sokongan berterusan terhadap komuniti pertanian di sini diperkukuh menerusi penyerahan bantuan baja kepada para penanam limau Bintangor dalam satu majlis simbolik di Pejabat Pertanian Daerah Meradong, pada Jumaat.
Majlis tersebut disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, yang turut menzahirkan komitmen berterusan dalam membantu meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan komuniti pertanian di kawasan berkenaan.
Hadir sama ialah Penolong Pegawai Daerah Meradong Sonia Hii, Pegawai Pertanian Daerah Meradong Emparie Randi serta Pegawai Pertanian Pembangunan Pejabat Pertanian Bahagian Sarikei Siti Khadijah Ibrahim.
Bantuan baja berkenaan diharap dapat membantu para penanam limau Bintangor meningkatkan hasil dan produktiviti tanaman, selain menyokong kelangsungan sektor pertanian tempatan.
Pada majlis tersebut, Datuk Ding turut menyumbangkan geran khas berjumlah RM1,500 kepada Kelab Pertanian Daerah Meradong bersempena dengan Program Pesta Meradong 2026.
Beliau juga mengumumkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada Kelab Pertanian Daerah Meradong bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan kelab sepanjang 2026.-EDISI UKAS