Sungai Asap Disasar Bina Rantaian Pertanian Lengkap
Posted on 23 Aug 2026
Source of News: UKAS
BELAGA: Pembangunan pertanian di Sungai Asap bakal diperkasa menerusi pendekatan berasaskan teknologi dan rantaian bekalan lengkap bagi meningkatkan produktiviti, nilai tambah serta pendapatan masyarakat setempat.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penggunaan teknologi seperti ‘Internet of Things’ (IoT), rumah hijau dan konsep pertanian pintar penting bagi mengoptimumkan penggunaan tanah yang terhad di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pendekatan pertanian moden juga berpotensi menarik lebih ramai golongan muda untuk menceburi sektor berkenaan.
“Cara baru ini adalah dengan menggunakan teknologi baru, IoT, green house dan sebagainya.
“Penggunaan teknologi baru ini perlu supaya anak-anak muda lebih berminat untuk bertani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Stesen Pertanian Sungai Asap, di sini pada Sabtu.
Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, pembangunan pertanian Sungai Asap tidak seharusnya terhenti pada peringkat pengeluaran, sebaliknya perlu merangkumi keseluruhan rantaian bermula daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan, pengeluaran, pemprosesan sehingga pemasaran.
Katanya, pendekatan secara berkelompok juga boleh membolehkan masyarakat menghasilkan produk pertanian yang mempunyai identiti tersendiri dan berpotensi menjadi produk ‘signature’ Sungai Asap.
“Di Sungai Asap ada lebih kurang 25,000 orang, jadi inilah tempatnya kita dapat membuat sesuatu secara berkelompok supaya kita dapat mengeluarkan satu signature hasil atau yang sinonim dari Sungai Asap,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyokong cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon supaya Stesen Pertanian Sungai Asap dikembangkan dengan kemudahan Agriculture Transformation Centre (ATC) berkonsepkan Smart Farming Centre serta Collection, Processing and Packaging Centre (CPPC) atau Food Terminal.
Menurutnya, kemudahan pemprosesan dan industri hiliran perlu dipertimbangkan bagi membolehkan hasil pertanian tempatan diproses serta diberikan nilai tambah sebelum dipasarkan.
Sementara itu, Kennedy berkata Stesen Pertanian Sungai Asap merupakan titik permulaan kepada pembangunan ekosistem pertanian yang lebih menyeluruh di kawasan tersebut.
Katanya, tiga keutamaan perlu diberi perhatian iaitu pembangunan ATC atau Smart Farming Centre, CPPC atau Food Terminal serta peluasan dan naik taraf jalan pertanian.
“Stesen Pertanian Sungai Asap adalah permulaan. Selepas ini kita mahu bergerak daripada ‘connectivity’ kepada teknologi, daripada teknologi kepada produktiviti, daripada produktiviti kepada pasaran, dan akhirnya kepada peningkatan pendapatan rakyat,” katanya.
Beliau berkata pendekatan tersebut mampu meningkatkan pengeluaran pertanian, melahirkan lebih ramai agropreneur, membuka peluang pekerjaan serta memperkukuh sumber pendapatan masyarakat setempat.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datu Sirai Daha, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat, Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit, Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Thomas Balan Bang dan Jurutera Daerah JKR Bahagian Kapit, Jaw Gara. -EDISI UKAS