Dalat Berpotensi Jadi Hab Industri Sagu Sarawak
Disiarkan pada 22 Aug 2026
Sumber Berita: UKAS
DALAT: Dalat berpotensi menjadi hab penting industri sagu Sarawak menerusi penerapan teknologi, inovasi dan pembangunan produk bernilai tambah bagi memastikan industri berkenaan lebih moden, berdaya saing dan mampan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, konstituensi berkenaan mempunyai kedudukan strategik dalam pembangunan industri sagu memandangkan daerah itu mencatat kawasan penanaman sagu terbesar di Sarawak.
"Dalat mempunyai kira-kira 14,324 hektar kawasan tanaman sagu atau sekitar 50 peratus daripada keseluruhan kawasan sagu di Sarawak, manakala Bahagian Mukah pula merangkumi kira-kira 23,397 hektar.
“Kedudukan ini menunjukkan kepentingan strategik Dalat dalam pembangunan industri sagu di Sarawak.
"Justeru, kawasan ini perlu terus diperkasakan melalui teknologi, inovasi dan pembangunan produk bernilai tambah bagi mentransformasikan industri sagu ke arah yang lebih moden, berdaya saing dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mini Agrofest M-FICORD yang disempurnakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Dr Stephen Rundi Utom, di Waterfront Dalat, pada Jumaat.
Sehubungan itu, Dato Sri Fatimah berharap pembinaan Kompleks Pembangunan Industri Sagu Sarawak (KPISS) di Dalat dapat dipercepatkan sebagai pusat sehenti dan pemangkin kepada transformasi industri sagu.
Katanya, KPISS dicadangkan merangkumi pembangunan sektor huluan dan hiliran industri sagu, termasuk penggunaan teknologi dan mekanisasi, peningkatan kapasiti pekebun kecil, penyelidikan dan pembangunan, inovasi, pemindahan teknologi, pembungkusan, penjenamaan serta pengkomersialan produk sagu.
Menyentuh mengenai penganjuran program Mini Agrofest, beliau berkata, ia merupakan platform penting untuk mendekatkan sektor agro kepada masyarakat, selain mengetengahkan kepelbagaian produk, hasil pertanian, inovasi dan teknologi serta potensi industri makanan dan komoditi Sarawak.
"Saya turut berharap Mini Agrofest tidak terhenti sebagai acara pameran dan jualan semata-mata, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pengusaha serta usahawan wanita untuk mengembangkan perusahaan dan perniagaan mereka.
“Lebih penting, kita mahu hasil dan produk agro Sarawak mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi, mampu menembusi pasaran yang lebih luas dan seterusnya memberikan pulangan yang lebih baik kepada para pengusaha,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah berkata, generasi muda perlu terus digalakkan menceburi sektor agro sebagai bidang yang mempunyai masa depan, khususnya menerusi penerapan teknologi, inovasi dan pendekatan perniagaan yang lebih moden.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datu Sirai Daha, Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat, Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli dan Pegawai Pertanian Bahagian Mukah, Haz Atika Halfeez. -EDISI UKAS