Sektor Pertanian Perlu Tarik Lebih Ramai Golongan Muda
Posted on 22 Aug 2026
Source of News: UKAS
DALAT: Sektor pertanian Sarawak perlu diperkasakan dengan menarik lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang berkenaan bagi menjamin kelangsungan serta daya saing sektor itu pada masa hadapan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, langkah itu penting memandangkan sebahagian besar petani sedia ada kini terdiri daripada golongan berusia.
Menurut beliau, persepsi bahawa sektor pertanian merupakan pekerjaan yang berbahaya, sukar dan kotor juga perlu diubah menerusi penggunaan teknologi moden yang mampu meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos pengeluaran.
“Pertanian tidak lagi boleh dilihat sebagai pekerjaan yang berbahaya, sukar dan kotor kerana penggunaan teknologi seperti pertanian tepat, internet of things (IoT), pertanian pintar, rumah hijau dan mekanisasi mampu mengubah keadaan tersebut.
“Teknologi bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah dapat mengurangkan kos pengeluaran dan menjadikan sektor ini lebih menarik kepada golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mini Agrofest anjuran Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) di Waterfront Dalat, pada Jumaat.
Dato Sri Dr Stephen Rundi berkata, Kerajaan Sarawak menyasarkan pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan menjelang 2030 menerusi transformasi sektor pertanian kepada bidang komersial yang lebih produktif dan berdaya saing.
Katanya, masyarakat luar bandar perlu beralih daripada pertanian sara diri kepada pertanian komersial dengan mengaplikasikan teknologi serta mengamalkan pertanian secara berkelompok.
“Transformasi ini penting bagi memastikan masyarakat luar bandar, khususnya golongan B40, turut menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Setiap titisan peluh yang dicurahkan perlu memberi hasil kepada kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut meneroka teknologi dan varieti tanaman yang mampu meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos pengeluaran, termasuk padi saka yang boleh dituai beberapa kali daripada satu penanaman.
“Masa depan sektor pertanian tidak seharusnya diukur berdasarkan keluasan tanah yang dimiliki semata-mata, sebaliknya berdasarkan kualiti, produktiviti dan nilai komersial yang mampu dijana.
“Kita mahu melihat RM1,000 tahun ini menjadi RM2,000 pada tahun depan dan terus meningkat,” tambahnya.
Sebelum majlis, Dato Sri Dr Stephen Rundi bersama tetamu lain menyempurnakan Program Pelepasan Anak Ikan di Perairan Umum 2026.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Tetap M-FICORD, Datu Sirai Daha, Pengarah Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat, Residen Bahagian Mukah, Bujang Rahman Seli, Pegawai Pertanian Bahagian Mukah, Haz Atika Halfiez, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Faridah Osman serta Pegawai Daerah Dalat, Mathew Hubert. -EDISI UKAS