Kelestarian Perlu Jadi Strategi Utama Industri Sawit Sarawak

Disiarkan pada 19 Aug 2026
Sumber Berita: UKAS
Edisi Ukas Image

BINTULU: Kelestarian perlu dijadikan sebahagian daripada strategi perniagaan industri sawit Sarawak bagi memastikan sektor itu terus berdaya saing, menarik pelaburan dan menembusi pasaran antarabangsa.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kelestarian bukan lagi sekadar isu alam sekitar atau pematuhan peraturan, sebaliknya semakin penting dalam meningkatkan daya saing dan mewujudkan nilai jangka panjang.

“Kelestarian mesti menjadi sebahagian daripada strategi perniagaan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom dalam majlis perasmian Forum Minyak Sawit Lestari SOPPOA 2026 di sini, pada Rabu.

Tambahnya, Sarawak mempunyai kira-kira 1.66 juta hektar kawasan tanaman kelapa sawit pada 2025, mewakili 29 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit Malaysia, selain menghasilkan kira-kira 4.50 juta tan minyak sawit mentah, meningkat 7.8 peratus berbanding 2024.

“Untuk Sarawak, ini bermakna mencari keseimbangan yang tepat antara pembangunan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan sosial,” katanya.

Premier Sarawak berkata, biomassa sawit juga perlu dimanfaatkan sebagai sumber tenaga boleh baharu, bahan api bio dan produk bernilai tinggi.

“Di sinilah kelestarian dan peluang ekonomi bertemu,” ujarnya.

Beliau turut menggesa industri meningkatkan mekanisasi dan automasi, memperkukuh rantaian bekalan serta mempelbagaikan pasaran bagi menghadapi cabaran seperti kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos pengeluaran dan perubahan iklim.

“Pada masa yang sama, setiap cabaran memberikan peluang,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama kerajaan, industri dan institusi penyelidikan perlu diperkukuh, termasuk dalam bidang penyelidikan serta inovasi bagi meningkatkan produktiviti dan membangunkan kegunaan baharu biomassa.

Forum Minyak Sawit Lestari SOPPOA 2026 berlangsung selama dua hari bermula Rabu (19 Ogos) di Bintulu dengan tema “Menerajui Kelestarian: Pematuhan, Risiko dan Peluang”.-EDISI UKAS