Bantuan Kerajaan Tingkatkan Keyakinan Pesawah Beras Bario

Disiarkan pada 10 Aug 2026
Sumber Berita: UKAS


BARIO: Sokongan berterusan kerajaan menerusi bantuan teknikal, pensijilan, kemudahan pemprosesan serta pembangunan infrastruktur terus meningkatkan keyakinan pesawah di pedalaman untuk mengembangkan perusahaan sekali gus memastikan warisan beras Bario terus lestari.

Bagi pengusaha D'Nalin Bario Highland Ecofarm, Dayang Nalin, inisiatif yang dilaksanakan kerajaan memberi suntikan semangat kepada mereka untuk menghasilkan produk yang lebih berkualiti dan berdaya saing walaupun beroperasi jauh dari pusat bandar.

Menurut beliau, ketika mula mengusahakan sawah, pelbagai cabaran terpaksa ditempuh termasuk kekurangan kemudahan serta kesukaran membawa hasil keluar dari Bario.

”Bagaimanapun, sokongan kerajaan melalui Jabatan Pertanian Sarawak sedikit demi sedikit membantu mengubah keadaan apabila beliau bukan sahaja menerima bimbingan teknikal, malah turut mendapat bantuan untuk meningkatkan kualiti dan nilai produk.

"Saya bersyukur kerana banyak belajar daripada Jabatan Pertanian tentang cara penanaman yang betul. Kami juga menerima bantuan mesin pelabelan dan pembungkusan yang membantu meningkatkan nilai produk," katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Kampung Arur Dalan, Bario baru-baru ini.

Selain bantuan sektor pertanian, beliau berkata usaha kerajaan menaik taraf jalan darat ke Bario turut membuka peluang lebih luas kepada petani untuk memasarkan hasil pertanian.

"Dulu sangat sukar hendak mengeluarkan hasil pertanian dari Bario. Sekarang kami sudah mempunyai pilihan untuk menghantar hasil ke luar," katanya.

Sawah seluas 1.21 hektar yang diusahakannya kini mampu menghasilkan sekitar 2.4 tan beras Bario setahun, dengan permintaan terhadap produk berkenaan terus menggalakkan.

Menurut Dayang Nalin, keistimewaan beras Bario antaranya dipengaruhi tanah yang subur, sumber air gunung yang sentiasa mengalir, cuaca tanah tinggi yang sesuai serta persekitaran yang bebas daripada pencemaran.

Beras Bario premium hasil perusahaan itu dijual sekitar RM18 sekilogram, manakala beras hitam dan beras berwarna masing-masing sekitar RM20 sekilogram.

Beliau berkata, sawah yang diusahakan kini merupakan satu-satunya sawah di Bario yang memperoleh pensijilan myGAP, sekali gus mencerminkan komitmen terhadap penghasilan Beras Bario mengikut Amalan Pertanian Baik.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut meningkatkan keyakinan untuk terus menghasilkan produk berkualiti, di samping memberi keyakinan kepada pengguna terhadap Beras Bario.

Selain Beras Bario, Dayang Nalin turut mengusahakan tanaman nanas serta menghasilkan pelbagai produk hiliran termasuk jem nanas, sos nanas bercili dan nanas kering sebagai usaha menambah nilai hasil pertanian.

Beliau berharap sokongan kerajaan terhadap pembangunan luar bandar dan sektor pertanian akan diteruskan agar lebih ramai petani di kawasan pedalaman berani mengembangkan perusahaan mereka serta memastikan warisan pertanian masyarakat Kelabit terus diwarisi generasi akan datang.-EDISI UKAS