Sektor Agro Berpotensi Pacu Ekonomi Luar Bandar
Disiarkan pada 06 Aug 2026
Sumber Berita: UKAS
KAPIT: Sektor agro mempunyai potensi besar sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi luar bandar dan wajar terus diperkasakan menerusi sokongan berterusan kerajaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, kejayaan pengusaha tempatan dalam menghasilkan madu kelulut dan mengusahakan tanaman halia membuktikan industri agro di Kapit mampu berkembang serta menjana pendapatan kepada masyarakat.
"Usaha pengusaha tempatan seperti penghasilan madu kelulut dan tanaman halia membuktikan industri agro di Kapit mampu berkembang serta menjana pendapatan kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Kapit Agro Farm, di sini, pada Rabu.
Dalam lawatan itu, Datuk Jefferson Jamit meninjau proses penuaian madu kelulut yang telah diusahakan sejak 10 tahun lalu selain melihat tanaman halia di ladang berkenaan.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM25,000 sebagai sokongan kepada pembangunan komuniti dan usahawan agro, melibatkan RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melatai, RM10,000 kepada Biro Wanita Kampung Melatai serta RM5,000 kepada RD Agro Farm.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Watson Awan Jalai, Pemanca Pasang Tubak, wakil JKKK, wakil persatuan serta penerima sumbangan.-EDISI UKAS