Jalan Pertanian Rumah Lim Siap, Mudahkan Akses Penduduk dan Aktiviti Pertanian
Posted on 06 Aug 2026
Source of News: UKAS
SARATOK: Projek menaik taraf jalan pertanian sepanjang 700 meter di Rumah Lim, Metong, yang menelan kos lebih RM160,000, kini siap sepenuhnya sekali gus meningkatkan kemudahan akses penduduk serta menyokong aktiviti pertanian di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek yang dilaksanakan di bawah inisiatif Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) itu merupakan hasil komitmen Jabatan Pertanian (DOA) Bahagian Betong sebagai agensi pelaksana dalam menyediakan infrastruktur yang lebih baik untuk masyarakat luar bandar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serahan Tapak Projek Siap di Rumah Lim, Metong, pada Khamis.
Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan penduduk agar terus memelihara adat resam serta mengukuhkan semangat gotong-royong dan kerjasama dalam kalangan komuniti demi mengekalkan keharmonian di kawasan tersebut.
Pada masa sama, beliau meminta Tuai Rumah dan Penghulu menyemak semula keperluan pembangunan di kawasan masing-masing serta mengemukakan permohonan bagi pelaksanaan projek baharu agar pembangunan dapat diteruskan secara berperingkat mengikut keperluan penduduk.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah wakil daripada Jabatan Pertanian Betong, wakil BDDA serta Penghulu Bundan Belatok.-EDISI UKAS