Naik Taraf Jalan Pertanian Raso 2 Tingkat Akses Penduduk Ke Kawasan Pertanian

Disiarkan pada 06 Aug 2026
Sumber Berita: UKAS
Edisi Ukas Image

LUNDU: Cadangan menaik taraf Jalan Pertanian Kampung Raso 2, Sungai Semmabou akan meningkatkan lagi akses penduduk ke kawasan pertanian sekaligus menyokong aktiviti ekonomi mereka.

Bagi memastikan cadangan projek itu dirancang mengikut keperluan sebenar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang telah mengadakan lawatan tapak ke Kampung Raso 2 pada Rabu.

Lawatan tersebut bertujuan meneliti lokasi, jarak dan skop kerja bagi cadangan projek yang akan dilaksanakan di bawah Projek Infrastruktur dan Jalan Ladang Opar 2027 menerusi Jabatan Pertanian Daerah Lundu.

Cadangan berkenaan melibatkan kerja menaik taraf jalan tanah kepada jalan berbatu sepanjang kira-kira satu kilometer dengan kelebaran tiga meter.

Projek itu turut dicadangkan merangkumi pemasangan tiga unit ‘reinforced concrete culvert’ berdiameter 900 milimeter bagi memperbaiki sistem saliran serta meningkatkan keselamatan dan kemudahan akses ke kawasan pertanian.

Billy berkata, perancangan projek perlu mengambil kira keperluan penduduk serta keadaan sebenar di lapangan supaya kemudahan yang disediakan dapat memberi manfaat secara optimum kepada komuniti.

Beliau turut memohon kerjasama pemilik tanah yang terlibat di bahagian penghujung laluan untuk melaksanakan proses penyukatan tanah dan memberikan izin lalu bagi membolehkan jajaran jalan diperluaskan mengikut keperluan projek.

Turut hadir, Penolong Pegawai Pertanian Jabatan Pertanian Daerah Lundu Rovinsien David, Penghulu Jinep Jiheng, Ketua Kaum Kampung Raso 2 Jomen Lidip dan Ketua Kaum Kampung Stungkor Baru Jeli Lahet. -EDISI UKAS