Agro Research Lab Sebuyau Perkukuh Asas Penyelidikan Industri Kelapa

Posted on 06 Aug 2026
Source of News: UKAS
Edisi Ukas Image

SEBUYAU: Projek Agro Research Lab Sebuyau akan memperkukuhkan lagi asas penyelidikan industri kelapa bagi memastikan kawasan ini menjadi antara pengeluar kelapa pada masa hadapan.

Susulan itu, satu lawatan tapak telah diselaraskan yang diketuai oleh Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang, bersama agensi-agensi berkaitan serta Ketua Masyarakat dan kaunselor bagi memastikan tapak dan keperluan pelaksanaan projek berada pada tahap yang ditetapkan.

Projek berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan tanaman kelapa, sekali gus berpotensi memperkukuh kapasiti sektor pertanian di Sebuyau melalui pendekatan berasaskan penyelidikan dan teknologi.

Sehubungan itu, lawatan turut meneliti kesesuaian tapak, akses dan laluan, kemudahan asas, aspek keselamatan serta keperluan logistik bagi memastikan pelaksanaan projek dapat berjalan lancar.

Penyelarasan antara agensi juga diberi perhatian bagi memastikan tindakan susulan berkaitan tapak, kemudahan dan persediaan majlis dapat dilaksanakan mengikut peranan serta tanggungjawab masing-masing.

Majlis Pecah Tanah Projek Agro Research Lab Sebuyau (Coconut) dijadualkan dirasmikan oleh Premier Sarawak dalam masa terdekat.

Projek itu dilihat berpotensi membuka ruang kepada pengukuhan aktiviti penyelidikan tanaman kelapa serta memberi manfaat kepada komuniti setempat melalui pembangunan sektor pertanian yang lebih tersusun dan berasaskan pengetahuan. -EDISI UKAS