Usaha Naik Taraf Jalan Pacu Industri Cili Bario
Posted on 07 Aug 2026
Source of News: UKAS
BARIO: Usaha Kerajaan Sarawak menaik taraf infrastruktur luar bandar serta memperkasa sektor pertanian membuka lembaran baharu kepada pengusaha cili fertigasi di Kampung Pa Derung apabila hasil tanaman kini mampu dipasarkan lebih meluas sehingga ke Miri dan Bintulu.
Pengusaha SSS Farm, Solomon Maran berkata, penambahbaikan jalan ke Kampung Pa Derung serta laluan Bario-Miri menjadi pemangkin utama kepada perkembangan perusahaan berkenaan kerana hasil pertanian kini boleh dihantar menggunakan pengangkutan darat selain perkhidmatan kargo udara.
“Dahulu agak sukar kerana keadaan jalan kurang baik. Sekarang kami boleh menghantar hasil menggunakan jalan darat terus ke Miri,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di SSS Farm, di sini baru-baru ini.
Sementara itu jelas beliau, perusahaan itu bermula menerusi projek fertigasi berskala kecil yang diperkenalkan Jabatan Pertanian Sarawak melibatkan 100 polibeg, di samping latihan dan kursus yang diberikan kepada penduduk setempat.
Berbekalkan ilmu dan pengalaman tersebut, perusahaan itu terus berkembang daripada projek perintis kepada kebun komersial yang kini menempatkan antara 2,000 hingga 3,000 pokok cili menggunakan sistem fertigasi di kawasan seluas kira-kira setengah ekar.
Katanya lagi, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sarawak turut memainkan peranan penting sejak awal perusahaan itu diusahakan dengan membantu memasarkan hasil tanaman sekali gus membuka akses kepada pasaran di luar Bario.
Tambah beliau, kelebihan iklim tanah tinggi Bario yang lebih sejuk membolehkan tanaman cili tumbuh dengan lebih subur, kurang diserang penyakit serta menghasilkan kualiti yang mendapat permintaan tinggi daripada pemborong.
Dalam pada itu, Solomon berkata penyertaan komuniti setempat turut meningkat selepas menerima Projek MADANI tahun lalu apabila enam keluarga kini mengusahakan penanaman cili secara berkelompok melibatkan kira-kira 7,000 pokok.
Menurutnya, pengeluaran semasa mampu mencecah sekitar 500 kilogram seminggu, manakala pengusaha yang memiliki kira-kira 2,000 pokok berpotensi memperoleh pendapatan sekitar RM4,000 sebulan daripada hasil jualan cili.
Bagaimanapun, beliau berkata permintaan pasaran masih melebihi kapasiti pengeluaran semasa dengan ada tempahan mencecah sehingga satu tan bagi satu pesanan, justeru berharap kawasan penanaman dapat terus diperluaskan bagi memenuhi keperluan pasaran yang semakin meningkat.- EDISI UKAS