Sarawak Teroka Pembangunan Beras Rendah Kanji
Posted on 06 Aug 2026
Source of News: UKAS
MIRI: Sarawak bakal meneroka pembangunan varieti beras berkandungan kanji rendah menerusi penyelidikan berterusan sebagai usaha menghasilkan produk bernilai tambah serta memenuhi permintaan pasaran makanan sihat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, varieti tersebut merupakan antara potensi yang sedang dibangunkan hasil kerjasama penyelidikan bersama Universiti Yunnan, China.
Menurut beliau, pembangunan varieti baharu itu bukan sahaja mampu memenuhi permintaan pengguna yang mementingkan aspek kesihatan, malah berpotensi dipasarkan ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penuaian Projek Penanaman Padi Varieti Perennial di Kuala Baram di sini pada Khamis.
Tambahnya, penyelidikan terhadap padi varieti perennial akan terus diperkukuh menerusi kerjasama antara Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah Sarawak (LCDA), Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Borneoland Paddy Sdn. Bhd. serta Universiti Yunnan.- EDISI UKAS