Kejayaan Padi Perennial Pemangkin Penyelidikan Tanaman Asli Borneo

Posted on 06 Aug 2026
Source of News: UKAS
Edisi Ukas Image

MIRI: Kejayaan penyelidikan padi varieti perennial di Sarawak perlu dijadikan pemangkin untuk memperluaskan penyelidikan terhadap tanaman asli Borneo yang berpotensi dikomersialkan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerjasama strategik bersama Yunnan University, China yang membuahkan hasil dalam pembangunan padi varieti perennial wajar diteruskan bagi meneroka potensi tanaman lain, khususnya buah-buahan tempatan yang mampu menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan.

"Apabila kita berjaya dalam penyelidikan padi ini, langkah seterusnya ialah menjalankan penyelidikan terhadap tanaman lain yang berasal dari Borneo, khususnya buah-buahan yang dapat menyokong keterjaminan makanan. Hasilnya nanti boleh kita kongsikan dengan negara-negara ASEAN," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penuaian Projek Penanaman Padi Varieti Perennial di Borneoland Paddy Sdn. Bhd., Kuala Baram, di sini pada Khamis.

Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, selain buah-buahan, penyelidikan juga boleh diperluaskan kepada tanaman lain yang mempunyai nilai ekonomi, termasuk spesies orkid tempatan yang berpotensi dibangunkan sebagai produk berasaskan sumber semula jadi.

"Arwah isteri saya pernah mengetahui mengenai sejenis orkid yang boleh dijadikan bahan mentah untuk minuman seperti teh. Ini menunjukkan masih banyak tanaman tempatan yang mempunyai potensi untuk diteroka melalui penyelidikan," ujarnya.

Menjelas lanjut, beliau memberitahu, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi kesesuaian tanah dan iklim yang kondusif untuk penyelidikan serta penanaman pelbagai jenis tanaman tropika.

Tambahnya lagi, faktor cuaca yang stabil, selain penggunaan teknologi seperti sistem pemantauan cuaca dan analisis data, mampu membantu meningkatkan keberkesanan penyelidikan dan produktiviti pertanian.

Justeru, kelebihan tersebut diyakini mampu meletakkan Sarawak sebagai lokasi strategik bagi pembangunan penyelidikan pertanian tropika yang bukan sahaja memperkukuh bekalan makanan negeri, malah berpotensi menghasilkan produk bernilai tinggi untuk pasaran serantau.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Xing Weiping, Naib Presiden Yunnan University, Profesor Duan Xingwu, Pengurus Besar LCDA merangkap Ketua Pegawai Eksekutif LCDA Holdings Sdn. Bhd. Datu Sr. Zaidi Mahdi, Pengerusi Eksekutif Borneoland Paddy Sdn. Bhd. Dato Hii King Chiong, Residen Bahagian Miri Galong Luang serta Pengarah Urusan Borneoland Paddy Sdn. Bhd. Hii Wei Wen.-EDISI UKAS

Disediakan Oleh: Leya Ameera Annuar Rigos
Jurugambar: Muhammad Rais Sanusi