Sarawak Pelopor Padi Varieti Perennial Di Malaysia

Posted on 06 Aug 2026
Source of News: UKAS
Edisi Ukas Image

MIRI: Sarawak melakar satu lagi pencapaian penting dalam sektor pertanian apabila muncul sebagai negeri pertama di Malaysia berjaya menghasilkan padi varieti perennial, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha meningkatkan pengeluaran beras tempatan serta memperkukuh keterjaminan makanan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kejayaan tersebut adalah hasil penyelidikan selama lebih dua dekad menerusi kerjasama strategik dengan Yunnan University, China.

Menurut beliau, teknologi padi varieti perennial berpotensi mentransformasikan sektor penanaman padi di Sarawak kerana mampu memanfaatkan kawasan tanah gambut yang sebelum ini kurang sesuai untuk pertanian, selain boleh diperluaskan ke kawasan lain yang mempunyai potensi.

“Sarawak merupakan negeri pertama menghasilkan padi perennial di Malaysia. Kita menjadi peneraju dan membuktikan sektor pertanian juga mampu ditransformasikan melalui teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penuaian Projek Penanaman Padi Varieti Perennial di Kuala Baram, di sini pada Khamis.

Bagi memastikan teknologi itu terus berkembang, beliau mencadangkan penubuhan sebuah pusat penyelidikan melibatkan kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LCDA), Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah serta Yunnan University bagi mempercepat pembangunan dan pengkomersialan teknologi berkenaan.

Menurut beliau, ketika ini Sarawak hanya mampu menghasilkan sekitar 20 hingga 21 peratus daripada keperluan beras negeri, manakala selebihnya masih bergantung kepada import.

Justeru, katanya, peluasan penanaman padi varieti perennial mampu meningkatkan tahap sara diri negeri, malah berpotensi menjadikan Sarawak sebagai pengeksport beras pada masa hadapan.

“Jika teknologi ini dapat diperluaskan, kita bukan sahaja mampu memenuhi keperluan beras domestik, malah lebihan pengeluaran boleh dieksport. Mungkin suatu hari nanti Sarawak akan menjadi seperti Thailand yang mengeksport beras ke rantau ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan kerajaan Sarawak akan menyalurkan peruntukan melalui kementerian berkaitan serta LCDA bagi memperkukuh penyelidikan dan memperluaskan penggunaan teknologi padi varieti perennial ke kawasan berpotensi termasuk Daro, Jemoreng dan beberapa kawasan pesisir.

Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut meninjau kawasan penanaman padi varieti perennial serta mendengar taklimat mengenai perkembangan projek yang disampaikan oleh pihak Borneoland Paddy Sdn. Bhd. sebelum menyempurnakan majlis penuaian tersebut.

Turut hadir Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching, Xing Weiping, Naib Presiden Yunnan University, Profesor Duan Xingwu, Pengurus Besar LCDA merangkap Ketua Pegawai Eksekutif LCDA Holdings Sdn. Bhd., Datu Sr. Zaidi Mahdi, Pengerusi Eksekutif Borneoland Paddy Sdn. Bhd., Dato Hii King Chiong, Residen Bahagian Miri, Galong Luang serta Pengarah Urusan Borneoland Paddy Sdn. Bhd., Hii Wei Wen. -EDISI UKAS