
KUCHING, 2 Dis: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah mempergiat usaha menaik taraf 12 stesen perikanan darat di seluruh Sarawak bagi meningkatkan pengeluaran benih ikan serta memperkukuh pembangunan modal insan dalam sektor perikanan.
Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata pelaksanaan projek tersebut akan dijalankan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Antara usaha tersebut termasuk meningkatkan kapasiti pengeluaran benih ikan di Stesen Perikanan Darat Semariang Batu daripada tiga juta kepada sembilan juta benih bagi menyokong subsektor akuakultur.
“Selain itu, Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) turut mempertingkatkan pengeluaran benih tilapia merah dan hitam di Stesen Perikanan Darat Ridan, selaku syarikat peneraju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak) hari ini.
Rundi turut memaklumkan bahawa kementerian sedang meneroka potensi kerjasama dengan sebuah syarikat swasta terkemuka bagi pengeluaran benih ikan tilapia hitam, bagi meluaskan kapasiti pembenihan ikan di negeri ini.
Menyentuh ketidakseimbangan perdagangan hasil perikanan, beliau berkata kementerian komited melaksanakan pelbagai inisiatif strategik untuk memperkukuh subsektor akuakultur bagi mengurangkan kebergantungan import.
Terdahulu, beliau menjelaskan bahawa jumlah pengeluaran industri perikanan Sarawak pada 2025 ialah 106,715 metrik tan bernilai RM1.4 bilion.
Sehingga Oktober 2025, Sarawak mencatat import hasil perikanan RM537.5 juta, manakala eksport hanya RM169 juta, menunjukkan keperluan mendesak memperkukuh kapasiti pengeluaran tempatan. – TVS