News

 

Sarawak sasar 240,000 tan pengeluaran beras menjelang 2030

Posted on 16 Jan 2025
Source of News: TVS

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Penuaian dan Perasmian Kilang Onemas Agriculture Sdn Bhd di Bintangor, hari ini. Foto Nadim Bokhari (TVS)
 

BINTANGOR, 16 Jan: Sarawak menyasarkan pengeluaran sebanyak 240,000 tan metrik padi menjelang tahun 2030 sebagai langkah untuk memastikan keterjaminan makanan ruji tersebut.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sasaran tersebut merangkumi beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi penanaman padi, termasuk di Lawas, Limbang, Kuching dan Meradong.

“Kita meminta UNIMAS untuk mengkaji campuran benih hibrid dari China dengan benih tempatan serta sistem penanamannya bagi meneliti kesesuaian benih.

“Ini mungkin meningkatkan pengeluaran dari satu tan per hektar kepada sembilan tan per hektar, iaitu peningkatan sembilan kali ganda,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penuaian dan Perasmian Kilang Onemas Agriculture Sdn Bhd di sini, hari ini.

Peningkatan hasil pengeluaran beras di wilayah ini dijangka memberi impak positif dari sudut keterjaminan makanan, eksport dan penghasilan produk hiliran.

“Beras adalah makanan terkawal dan jika kita mempunyai lebihan pengeluaran, kita boleh menjadikannya sebagai produk eksport.

“Selain menghasilkan makanan ruji untuk kegunaan rakyat dan eksport, kita juga boleh menghasilkan produk hiliran, termasuk tepung beras,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan Sarawak menerusi M-Ficord menyasarkan sekurang-kurangnya Sarawak mencapai tahap mampu sara diri menjelang 2030.