News

 

UNIMAS sedia lakukan transformasi pertanian dengan libatkan komuniti

Posted on 02 Nov 2024
Source of News: TVS

Julaihi (empat, kiri) menunjukan Baja Bio-Organik yang dihasilkan UNIMAS. Foto TVS

SEBUYAU, 2 Nov: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berhasrat melakukan transformasi bukan sahaja dalam membangunkan individu tetapi juga komuniti setempat menerusi jalinan kerjasama agensi Kerajaan Sarawak dalam aktiviti pertanian.

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hatta Rasit berkata, menerusi penubuhan Makmal Penyelidikan Agro Kelapa, tiga fakulti iaitu Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi bergabung menjalankan penyelidikan dalam membantu komuniti membangunkan semula aktiviti penanaman kelapa dengan bantuan Baja Bio-organik yang dihasilkan oleh penyelidik.

Selain penggunaan Baja Bio-Organik, UNIMAS akan turut membantu dari sudut pemasaran hingga kepada penggunaan semula sisa buangan kelapa tersebut.

“Insya-Allah dengan ada teknologi Baja Bio-Organik diketuai oleh Profesor Awang Sallehin dan dibantu oleh Fakulti Kejuruteraan yang mana fakulti akan melihat sisa buangan dan bagaimana sisa buangan tadi boleh digunakan semula, sebagai contoh kita gunakan sebagai baja dan sebagainya

“Kemudian, satu hari nanti apabila projek ini lebih besar, kita akan melibatkan beberapa lagi fakulti untuk mentransformasikan komuniti,” katanya

Profesor Dr Ahmad Hatta berkata demikian selepas ditemui TVS pada Majlis Pra Pelancaran Projek Perintis, Makmal Penyelidikan Agro Kelapa Sebuyau Fasa 1 di Ladang Kelapa, Kampung Arus Melayu Sebangan pada Sabtu.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi.

Sementara itu menurut Ketua Penyelidik Baja Bio Organik, Profesor Dr Awang Ahmad Sallehin Awang Husaini, Baja Bio-Organik yang dihasilkan menerusi penyelidikan bersama-sama beberapa penyelidik lain mempunyai kelebihan tersendiri berbanding yang terdapat di pasaran.

“Kita (UNIMAS) hasilkan formulasi baja hasil bio crop tempatan yang didapati berfungsi dengan baik untuk membantu meningkatkan pertumbuhan pokok, penghasilan buah dan penyuburan tanah,” ujarnya.

Hadir sama Residen Bahagian Samarahan Mohammad Irwan Bahari Bujang dan Pegawai Daerah Sebuyau, Ayuradiman Bujang-TVS