Kelulusan RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak Dijangka Perkukuh Keselamatan Makanan

Posted on 12 May 2026
Source of News: UKAS
Edisi Ukas Image

KUCHING: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 diyakini menjadi langkah strategik dalam memperkukuh keselamatan makanan negeri sekali gus membantu menstabilkan bekalan dan harga beras pada masa hadapan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, fokus utama kerajaan Sarawak ketika ini adalah mempertingkat pengeluaran beras tempatan serta membangunkan ekosistem industri padi yang lebih mampan, moden dan tersusun.

Menurut beliau, usaha memperkukuh rantaian bekalan serta meningkatkan kapasiti pengeluaran domestik amat penting sebelum mekanisme kawalan harga dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

“Apabila Sarawak berjaya menghasilkan bekalan beras yang mencukupi serta menguasai rantaian hiliran sendiri, ketika itu kita berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk menstabilkan harga beras.

“Buat masa ini, fokus utama ialah memastikan bekalan makanan negeri terus terjamin dan pengeluaran tempatan dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam
sidang media sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.

Tambah beliau, aspek kawal selia harga beras ketika ini masih berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan menerusi Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) serta kementerian berkaitan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kapasiti stok simpanan beras Sarawak ketika ini hanya mampu menampung keperluan sekitar dua hingga tiga bulan berbanding Semenanjung Malaysia yang mempunyai simpanan sehingga lima atau enam bulan.

Menurutnya, keadaan tersebut menunjukkan keperluan mendesak untuk mempercepat pembangunan industri padi tempatan bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan susulan ketidaktentuan geopolitik, masalah logistik dan cabaran rantaian bekalan global.

Sehubungan itu, kerajaan negeri kini memberi tumpuan terhadap pembangunan kawasan penanaman padi berskala besar bagi mencapai sasaran tahap sara diri (SSL) beras sebanyak 60 peratus menjelang tahun 2030.

Katanya, daripada 14,000 hektar kawasan yang dikenal pasti untuk pembangunan tanaman padi, kira-kira 6,000 hektar melibatkan tanah milik kerajaan yang berpotensi dibangunkan dalam tempoh lebih singkat.

Beliau turut menjelaskan pendekatan Sawah Berskala Besar (SBB) akan menjadi antara strategi utama pembangunan sektor padi Sarawak kerana mampu meningkatkan penggunaan mekanisasi, automasi dan sistem pengairan yang lebih cekap bagi memperkukuh produktiviti pengeluaran beras negeri. -EDISI UKAS