Pelaksanaan Amalan Pertanian Baik Usaha Tingkatkan Produktiviti Di Sarawak
Posted on 12 May 2026
Source of News: UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah menggariskan beberapa pendekatan bagi mengurangkan kos input secara tidak langsung dan tidak hanya bergantung kepada peningkatan subsidi secara langsung.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, antara langkah yang dilaksanakan adalah memberi penekanan kepada pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (ABP) sebagai asas dalam meningkatkan produktiviti serta kecekapan input pertanian.
Selain itu katanya, pihak kementerian turut menggalakkan penggunaan baja alternatif berasaskan konsep ‘waste-to-wealth’, termasuk penghasilan baja organik daripada sisa pertanian, sisa ternakan dan bahan buangan industri sago.
“Memperkasakan penggunaan teknologi moden dan ICT yang dapat meningkatkan kecekapan, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh serta menurunkan kos operasi keseluruhan.
“Ia termasuk meningkatkan khidmat sokongan berkaitan penggunaan keupayaan tanah (soil capability) melalui penyediaan khidmat nasihat teknikal, pemetaan kesesuaian tanah serta cadangan jenis tanaman optimum mengikut ciri tanah setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga menumpukan kepada pendekatan yang lebih mampan dan menyeluruh melalui peningkatan produktiviti, pembangunan infrastruktur, penerapan teknologi moden serta pembangunan input alternatif tempatan.
Tegasnya, pendekatan ini diyakini berkesan dalam mengurangkan kos pengeluaran serta memperkukuh daya tahan sektor pertanian dalam jangka panjang.
Pada masa sama katanya, kerajaan juga akan terus melaksanakan program bantuan kepada golongan sasar yang memerlukan. - EDISI UKAS