DUN Lulus RUU Tubuh Lembaga Padi dan Beras Sarawak
Posted on 12 May 2026
Source of News: UKAS
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 selepas mendapat sokongan sebulat suara ahli dewan pada bacaan ketiga.
RUU tersebut dibentangkan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan telah dibahaskan oleh 31 Ahli Dewan Undangan Negeri pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, di sini, pada Selasa.
Ketika membentangkan RUU berkenaan, Dato Sri Dr Stephen berkata penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak merupakan langkah strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta memastikan pembangunan industri padi dan beras dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan mampan.
Menurut beliau, bekalan makanan yang mencukupi dan stabil amat penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat, terutama beras sebagai makanan ruji utama rakyat Malaysia.
“Dalam hal ini, Sarawak telah mengambil satu langkah penting untuk memperkukuh kawalan terhadap industri padi dan beras. Rang Undang-Undang ini dirangka bagi membolehkan negeri mengurus, membangunkan dan mengekalkan industri ini demi kepentingan rakyat untuk jangka masa panjang,” katanya.
Tambah beliau, lembaga tersebut akan berfungsi sebagai sebuah badan korporat yang mempunyai kuasa mengeluarkan lesen, mengutip fi, menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D), membangunkan strategi pemasaran serta menasihati kerajaan berkaitan dasar industri padi dan beras negeri.
Katanya, lembaga itu juga diberi kuasa untuk menubuhkan jawatankuasa, melantik ejen dan pakar serta bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memperkukuh pembangunan kawasan penanaman padi di Sarawak.
Dalam ucapan penggulungannya, beliau berkata pihak kementerian turut mengambil maklum segala pandangan, cadangan dan idea yang dikemukakan oleh ahli-ahli dewan sepanjang perbahasan berlangsung.
Menurutnya, penubuhan lembaga tersebut turut selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada pembangunan pertanian moden, mampan dan mesra alam melalui penggunaan teknologi hijau.
“Lembaga ini akan memainkan peranan penting dalam menyelaras dan memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam industri padi dan beras ke arah sistem pertanian yang lebih mampan, moden dan berdaya tahan serta bertanggungjawab terhadap alam sekitar selaras dengan PCDS 2030,” katanya.
Selain itu, RUU berkenaan turut memperuntukkan penubuhan Dana Lembaga Padi dan Beras Sarawak bagi membiayai pelaksanaan pelbagai rancangan, skim dan projek berkaitan industri padi dan beras negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga diberi kuasa mengisytiharkan mana-mana tanah negeri sebagai “Kawasan Pembangunan Padi” bagi membolehkan pembangunan industri padi dilaksanakan secara lebih terancang dan bersepadu.
Dato Sri Dr Stephen turut menegaskan bahawa peruntukan di bawah RUU tersebut bertujuan melengkapi kerangka sedia ada di peringkat Persekutuan, khususnya dalam memperkukuh peranan negeri dalam pembangunan, penyelarasan dan penambahbaikan industri padi dan beras di Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ibanez Jeffery