Tunoh Berpotensi Jadi Hab Baharu Penanaman Padi Moden Sarawak
Posted on 12 May 2026
Source of News: UKAS

KUCHING: Kawasan Tunoh di Baleh berpotensi muncul sebagai hab baharu penanaman padi moden berteknologi tinggi dalam usaha memperkukuh agenda keselamatan makanan dan meningkatkan pengeluaran beras Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai berkata, kawasan tersebut memiliki kelebihan dari segi keluasan tanah, sumber air serta kesesuaian untuk dibangunkan menerusi pendekatan pertanian moden sekiranya disokong dengan kemudahan infrastruktur dan teknologi yang mencukupi.
Menurut beliau, pembangunan kawasan baharu seperti Tunoh penting bagi membantu Sarawak mengurangkan kebergantungan terhadap import beras selain memperluas kapasiti pengeluaran makanan negeri.
“Sebagai wakil rakyat kawasan Baleh, saya ingin melihat kawasan seperti Tunoh turut diberi perhatian sebagai kawasan baharu penanaman padi berteknologi tinggi.
“Kawasan ini mempunyai potensi besar dari segi keluasan tanah, sumber air, serta kesesuaian untuk dibangunkan dengan pendekatan pertanian moden sekiranya disokong dengan infrastruktur dan teknologi yang mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Tambah beliau, pembangunan kawasan seperti Tunoh bukan sahaja mampu meningkatkan pengeluaran padi negeri, malah berpotensi merancakkan ekonomi luar bandar melalui pewujudan peluang pekerjaan baharu khususnya kepada golongan belia.
Dalam pada itu, Nicholas Kudi turut menyatakan sokongan penuh terhadap sasaran Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras kepada 60 peratus menjelang tahun 2030.
Katanya, ketika ini Sarawak hanya mampu menghasilkan sekitar 30,000 tan metrik beras setahun berbanding keperluan negeri yang dianggarkan mencecah 450,000 tan metrik, sekali gus menunjukkan kebergantungan yang masih tinggi terhadap import luar.
Beliau turut berharap kerajaan negeri memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi moden seperti dron pertanian, sistem pengairan pintar, mekanisasi ladang serta penggunaan benih padi berkualiti tinggi bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian negeri.
“Penggunaan teknologi ini akan meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos pengeluaran serta menjadikan sektor pertanian lebih cekap dan kompetitif.
“Selain itu, usaha ini juga berpotensi menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian moden,” ujarnya. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Foto: Ibanez Jeffery