Petani Kecil Tidak Boleh Tercicir Dalam Agenda Pembangunan Industri Padi Sarawak

Posted on 12 May 2026
Source of News: UKAS
Edisi Ukas Image

KUCHING: Penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak perlu memastikan pembangunan industri padi negeri dilaksanakan secara inklusif agar manfaatnya dapat dinikmati petani tempatan serta komuniti luar bandar, bukan hanya tertumpu kepada syarikat besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, pembangunan sektor padi dan beras Sarawak perlu disokong menerusi bantuan teknikal, pembiayaan, latihan serta peluang penyertaan yang adil dalam rantaian bekalan makanan negeri.

Menurut beliau, aspek tadbir urus dan ketelusan juga perlu diberi perhatian serius memandangkan lembaga tersebut bakal mengurus dana besar termasuk pelaburan dan penubuhan syarikat subsidiari.

“Laporan tahunan, ketelusan kewangan dan pencapaian yang boleh diukur perlu diberi penekanan bagi memastikan keyakinan rakyat terus terpelihara selain mengelakkan birokrasi yang tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.

Joseph Chieng berkata, penubuhan lembaga tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negeri memandangkan Sarawak masih bergantung kepada bekalan beras import.

Katanya, lembaga berkenaan akan berfungsi sebagai badan penyelaras utama industri padi dan beras negeri meliputi aspek pembangunan, pelaburan, penyelidikan serta pengumpulan data industri bagi memperkukuh pelaksanaan dasar makanan negeri.

Beliau turut menyokong pendekatan Kerajaan Sarawak menggunakan tanah milik kerajaan negeri yang dikenal pasti khusus untuk pembangunan kawasan penanaman padi bagi mengelakkan pertikaian pemilikan tanah selain memudahkan perancangan pertanian berskala besar secara lebih sistematik.

Menurutnya, pembangunan infrastruktur dan sistem pengairan yang efisien mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran beras Sarawak sekali gus memperkukuh daya tahan bekalan makanan negeri pada masa hadapan. -EDISI UKAS

Wartawan: Lonney Jinab
Foto: Hazrin Sunaini