Komuniti Dayak Berpotensi Perkukuh Agenda Pembangunan Padi Sarawak
Disiarkan pada 12 May 2026
Sumber Berita: UKAS
KUCHING: Komuniti Dayak berpotensi memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda pembangunan industri padi Sarawak menerusi penglibatan aktif dalam kawasan penanaman padi yang dikenal pasti di seluruh negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, komuniti Dayak wajar diberikan peluang melalui persatuan, organisasi atau mana-mana badan berkaitan untuk turut serta dalam program pembangunan tersebut.
“Memandangkan mereka mempunyai hubungan rapat dengan tanah, memiliki tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang luas serta merupakan komuniti penanam padi, saya percaya mereka akan memaksimumkan sumber dan tenaga kerja yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Menurutnya, pendekatan tersebut mampu memperkukuh rasa pemilikan dan tanggungjawab dalam kalangan komuniti sekali gus menyokong kejayaan pembangunan industri padi secara menyeluruh selaras dasar keterangkuman kerajaan negeri.
Dalam pada itu, John Ilus berkata, tahap sara diri (SSL) beras negara ketika ini hanya sekitar 32 peratus bagi tempoh 2023 hingga 2025 sehingga menyebabkan kebergantungan import yang tinggi, khususnya dari Vietnam dan India.
Justeru, katanya Sarawak perlu memperluaskan kawasan penanaman padi baharu yang mempunyai sistem pengairan baik selain memperkukuh pemulihan skim pengairan sedia ada bagi mencapai sasaran 60 peratus tahap sara diri menjelang 2030.
Tambah beliau, pendekatan pertanian pintar juga perlu diperkenalkan menerusi penggunaan kemudahan moden, pengurusan ladang lebih sistematik serta varieti padi berkualiti tinggi bagi memenuhi sasaran pengeluaran makanan negeri. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini