Sarawak Percepat Transformasi Pertanian Moden, Sasar SSL Beras 60 Peratus Menjelang 2030
Posted on 11 Apr 2026
Source of News: UKAS
LUNDU: Sarawak mempergiat usaha mentransformasikan sektor pertanian melalui penggunaan teknologi moden dan mekanisasi sebagai strategi utama meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras negeri kepada sekurang-kurangnya 60 peratus menjelang 2030.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menegaskan, pendekatan pertanian pintar termasuk penggunaan jentera, dron dan sistem teknologi bersepadu perlu dipergiat bagi melonjakkan produktiviti serta kecekapan pengeluaran padi.
Beliau berkata demikian semasa Lawatan Kerja Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Sabu ke Projek Penanaman Padi Tanjung Purun, di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, tahap SSL beras Sarawak ketika ini berada sekitar 21 peratus dan memerlukan anjakan signifikan melalui pelaksanaan kaedah moden serta peluasan kawasan penanaman secara berkelompok.
“Bagi mencapai sasaran ini, kita perlu beralih daripada kaedah tradisional kepada pertanian moden yang lebih efisien dan berskala besar, termasuk memanfaatkan teknologi digital dalam pengurusan tanaman,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengakui cabaran utama sektor tersebut melibatkan pemilikan tanah berskala kecil serta kekurangan penyertaan golongan muda, justeru pendekatan seperti pembangunan agropark dan pengukuhan pertanian pintar dilihat mampu menarik minat generasi baharu.
Projek Penanaman Padi Tanjung Purun yang melibatkan keluasan kira-kira 140 hektar dikenal pasti sebagai antara inisiatif strategik berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan penanaman padi komersial moden di Sarawak.
Projek itu turut menggunakan varieti padi moden termasuk padi hibrid GS-30 yang berupaya meningkatkan hasil tuaian dan kualiti beras, sekali gus menyumbang kepada peningkatan produktiviti sektor padi negeri.
Dalam rangka lawatan sama, rombongan turut melawat Ladang Ternakan Udang PPES Seahorse di Rambungan serta menyertai aktiviti pelepasan benih anak udang sebagai usaha memperkukuh pembangunan sektor akuakultur.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Ts Mustapha Sakmud, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Dato Razaili Gapor dan Penasihat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Tan Sri William Mawan Ikom. -EDISI UKAS