Sarawak Perkukuh Sekuriti Makanan, RM1 Bilion Bangunkan Infrastruktur Padi

Disiarkan pada 12 Apr 2026
Sumber Berita: UKAS
Edisi Ukas Image

MIRI: Sarawak mempergiat usaha memperkukuh sekuriti makanan dengan memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran padi serta pembangunan industri makanan berasaskan nilai tambah.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, tahap kecukupan sara diri (SSL) beras yang kini sekitar 21 peratus berbanding 46 peratus sebelum ini memerlukan intervensi segera dan bersepadu.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1 bilion bagi pembangunan infrastruktur tanaman padi bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Penurunan SSL ini berpunca daripada peralihan kepada komoditi lebih menguntungkan seperti kelapa sawit, justeru pendekatan baharu yang lebih strategik perlu dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perkongsian bersama warga kerja Pejabat Pertanian Bahagian Miri, pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan usaha memperluas sumber makanan turut dipacu melalui pembangunan kawasan baharu termasuk sasaran 20,000 hektar tanaman nanas dan 20,000 hektar kelapa bagi memperkukuh rantaian bekalan serta menjana nilai tambah ekonomi.

Tambah beliau, transformasi sektor pertanian perlu beralih kepada model moden, produktif dan berorientasikan pasaran, dengan peranan Jabatan Pertanian Sarawak sebagai barisan hadapan membimbing komuniti luar bandar.

Katanya, lebih 2,000 kakitangan jabatan itu digerakkan bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan efektif hingga ke peringkat akar umbi.

Beliau turut menegaskan kejayaan negara seperti Thailand dan Vietnam wajar dijadikan penanda aras dalam memacu pembangunan sektor pertanian yang lebih berdaya saing.

Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh sekuriti makanan secara mampan serta menjadikan sektor pertanian sebagai pemacu baharu ekonomi Sarawak. -EDISI UKAS