Sarawak berpotensi tingkatkan pengeluaran padi negara

Disiarkan pada 10 Apr 2026
Sumber Berita: TVS



LUNDU, 10 April: Usaha memperkasa sekuriti makanan negara terus menjadi keutamaan dengan Sarawak dilihat mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Sarawak telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkukuh sektor pertanian khususnya pengeluaran padi dan beras.

Beliau berkata, sasaran meningkatkan tahap sara diri (SSR) beras Sarawak berupaya menyumbang kepada peningkatan SSR beras negara yang kini berada pada tahap 53 hingga 55 peratus.

Menurutnya, tahap tersebut masih belum memuaskan dan mendedahkan negara kepada risiko luar, termasuk peningkatan kos logistik susulan kenaikan harga bahan api, walaupun harga beras di negara pengeksport seperti India kekal stabil.

“Berdasarkan pemerhatian di lapangan, hasil padi di beberapa kawasan sarawak menunjukkan potensi memberangsangkan, dengan angaran hasil mencecah antara tujuh hingga lapan tan sehektar, malah ada kawasan mencapai sehingga sembilan hingga 11 tan sehektar.

“Jika purata hasil nasional dapat ditingkatkan kepada tujuh tan sehektar, Malaysia berpotensi menjadi negara pengeksport beras,” katanya.

Mohamad Sabu berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke projek tanaman padi Tanjung Purun di Lundu, pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau menegaskan usaha meningkatkan pengeluaran tempatan perlu dipercepatkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import.

Dalam pada itu, lawatan ke tapak projek ladang padi di Sarawak mendapati terdapat peningkatan kualiti tanaman, namun masih memerlukan penambahbaikan di beberapa kawasan seperti di Batang Lupar bagi memastikan hasil lebih seragam dan optimum.

Mohamad turut menegaskan bahawa kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak perlu terus diperkukuh bagi memastikan sasaran sekuriti makanan negara dapat dicapai. -TVS