KUNJUNGAN HORMAT YB FRIDAY BELIK (ADUN) N.39 KRIAN SERTA TAKLIMAT TEKNOLOGI OLEH SYARIKAT INDUSTRI KEPADA PENGARAH PERTANIAN SARAWAK

Disiarkan pada 24 Mar 2026
Sumber Berita: FB Jabatan Pertanian Sarawak


24 Mac 2026 | KUCHING – Yang Berhormat Encik Friday Belik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.39 Krian telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Berusaha Encik Dominic Anak Chunggat, Pengarah Pertanian Sarawak di Ibu Pejabat Jabatan Pertanian Sarawak, Kuching.

Sesi tersebut turut disusuli dengan taklimat daripada pihak industri iaitu HarvestNet Sdn. Bhd. melalui pembentangan E2 SaaS Solutions, serta CMQIP Industrial Development Holding (M) Sdn. Bhd. berkenaan pembangunan teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertanian.

Taklimat ini memberi fokus kepada potensi penggunaan teknologi pintar dalam industri padi, termasuk aplikasi automasi, dron, sistem analitik data dan mekanisasi moden bagi meningkatkan kecekapan operasi di lapangan, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh serta meningkatkan hasil pengeluaran secara lebih produktif dan lestari.

Dalam perbincangan tersebut, semua pihak turut bertukar pandangan mengenai peluang kerjasama strategik, pelaksanaan projek rintis serta pengukuhan rantaian bekalan industri padi di Sarawak melalui pendekatan pertanian pintar.

Usaha ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak dalam memperkasa sektor pertanian melalui pendigitalan dan teknologi berimpak tinggi ke arah meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras Sarawak.