SEMARAK RAMADAN : BAKIS KONGSI REZEKI DI BAZAR RAMADAN MEDAN NIAGA SATOK

Disiarkan pada 11 Mar 2026
Sumber Berita: BAKIS DOA Sarawak

 
Bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia, Badan Kebajikan Islam (BAKIS) Jabatan Pertanian Sarawak telah menganjurkan Program Pengagihan Bubur Durian dan Bubur Pulut Hitam di perkarangan Bazar Ramadan Medan Niaga Satok.

Inisiatif ini digerakkan dengan matlamat untuk mengeratkan ukhuwah serta menyemarakkan semangat berkongsi rezeki bersama masyarakat setempat.
Program murni ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Bin Haji Ismail, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan), yang telah merasmikan acara tersebut. Sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif tersebut, beliau juga menyalurkan sumbangan kepada pihak BAKIS bagi memastikan kelancaran serta kejayaan penganjuran program ini.
 
Turut hadir sama di program ini ialah Puan Radziah bt Jack, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Pertanian Sarawak mewakili Pengarah Pertanian Sarawak merangkap Pengerusi BAKIS, Puan Shariah binti Umar; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Jaminan Kualiti Tanaman, Puan Rajmah Muzli binti Razili; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Industri Asas Tani, Encik Jafaruddin bin Ali; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Padi dan Bijian, Puan Heidylia anak Joshua; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Institusi Peladang, Puan Nur Najwa binti Hamsein; Penolong Pengarah Unit Integriti dan para ahli BAKIS.
 
Usaha murni ini turut mendapat kerjasama padu daripada warga kerja Jabatan Pertanian Sarawak yang bergotong-royong serta bertungkus-lumus menyediakan juadah. Hasil semangat kerjasama ini, sebanyak 1,000 pek bubur durian dan bubur pulut hitam berjaya disiapkan dan diagihkan. Jumlah ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan kerana mencatatkan peningkatan sekali ganda berbanding 500 pek bubur pedas yang diagihkan pada tahun lalu.
Program sebegini bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada para penerima, malah menjadi platform terbaik dalam memperkukuh semangat perpaduan, kebersamaan dan nilai ihsan dalam kalangan komuniti. Melalui kejayaan penganjuran ini, BAKIS kekal komited untuk terus melaksanakan inisiatif kebajikan yang memberi impak positif kepada masyarakat, selari dengan keberkatan bulan Ramadan yang mulia.
 
Seluruh warga kerja Jabatan Pertanian Sarawak dan Jawatankuasa BAKIS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Bin Haji Ismail atas kesudian merasmikan majlis serta sumbangan ikhlas yang telah diberikan.
Penghargaan turut diberikan kepada pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) atas sokongan dan kerjasama dalam menyediakan ruang tapak serta kemudahan khemah, sekali gus membantu melancarkan urusan pengagihan.
 
Sumber : BAKIS DOA Sarawak