RM3.3 Juta Bina Jalan Pertanian Kampung Gahat Mawang

Disiarkan pada 23 Feb 2026
Sumber Berita: UKAS
Edisi Ukas Image

TEBEDU: Projek pembinaan baharu Jalan Pertanian Kampung Gahat Mawang bernilai RM3.3 juta di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Greater Kuching (GKCDA) menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh sektor pertanian serta pembangunan luar bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada berkata, keseluruhan peruntukan berjumlah RM3.9 juta telah disediakan bagi projek berkenaan.

Namun ujarnya, sebanyak RM3.3 juta digunakan untuk pelaksanaan fasa pertama manakala selebihnya akan dimanfaatkan untuk projek lain di kampung yang sama.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek GKCDA bagi pembinaan baharu Jalan Pertanian Kampung Gahat Mawang di sini pada Isnin.

Projek berimpak tinggi itu melibatkan jajaran sepanjang 5.7 kilometer merangkumi lima kilometer jalan pertanian berbatu dan 500 meter jalan konkrit dengan tempoh pelaksanaan selama dua tahun bermula 19 Februari 2026 hingga 18 Februari 2028.

Selain itu, pembinaan turut melibatkan struktur jambatan, culvert serta pemasangan gabion bagi memastikan sistem saliran dan kestabilan tanah lebih kukuh serta selamat digunakan oleh penduduk setempat.

Dr. Simon menambah, objektif utama projek tersebut adalah menyediakan akses yang lebih baik kepada para petani dan pekebun bagi memendekkan masa mengusahakan tanah selain menggalakkan penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Kampung dan para pemilik tanah atas kerjasama serta sikap berpandangan jauh dalam menjayakan projek berkenaan.

Jelasnya, nilai tanah dijangka meningkat apabila mempunyai akses jalan yang baik berbanding tanah tanpa kemudahan infrastruktur.

Pada masa sama, beliau menasihati penduduk agar bersama-sama menjaga dan menyelenggara kemudahan yang dibina supaya dapat dimanfaatkan dalam tempoh jangka panjang.

Beliau turut berharap projek tersebut dapat disiapkan lebih awal daripada jadual asal serta memohon pihak kontraktor mempertimbangkan untuk menyiapkannya dalam tempoh setahun berbanding dua tahun seperti ditetapkan.

Turut hadir Pegawai Daerah Tebedu, Gerard George Entigar, Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran Serian, Nurul Dayang, wakil Ketua Pegawai Eksekutif GKCDA, Clarie Saos, Ahli Majlis Serian serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum kawasan Tebedu.-EDISI UKAS