
KUCHING: Kira-kira 15,000 hektar tanah dikenal pasti bagi penanaman padi komersial menggunakan Model Perkongsian Awam-Swasta melalui pembangunan Reka Bentuk Bina Kendalikan dan Pindah (DBOT).
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, Kerajaan Sarawak sedang memacu pembaharuan menyeluruh pembangunan padi komersial di Sarawak.
Menurutnya, ini termasuk memperkenalkan model pembangunan DBOT, pewartaan tanah kerajaan, pemodenan sistem saliran dan pengairan, serta meluaskan penyertaan sektor swasta.
“Untuk itu, Kementerian Industri Makanan Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) telah mengenal pasti kira-kira 15,000 hektar untuk penanaman padi komersial menggunakan Model Perkongsian Awam-Swasta DBOT,” katanya pada sesi penggulungan kementeriannya sempena Persidangan DUN Sarawak ke-19, hari ini.
Setakat ini, jelasnya 6,100 hektar termasuk kawasan di Tanjung Purun, Linga Banting, Stumbin Bijat, Seduku, Selepong, Limbang dan Sundar telah diluluskan untuk pelaksanaan.
“Kementerian saya akan terus mengenal pasti kawasan yang lebih sesuai untuk penanaman padi komersial,” ujarnya.
Tambah Rundi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak telah menjalankan lawatan tapak ke tujuh projek yang diluluskan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dengan pelaksanaan akan bermula tahun hadapan.
Beliau turut mengemas kini kemajuan penyelidikan varieti padi hasil tinggi dan berdaya tahan di Stumbin yang menunjukkan padi baharu itu mencapai hasil 30 peratus lebih tinggi berbanding varieti kawalan MR297.
“Dalam meningkatkan kapasiti dan keupayaan industri padi dan beras Kerajaan Sarawak sedang bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) untuk menyediakan latihan teknikal selaras dengan Piawaian Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).
“Dalam masa sama, Sarawak sedang mewujudkan kemudahan latihannya sendiri dan memuktamadkan program latihan berstruktur. Seramai 25 pelajar Sarawak akan menjalani latihan tajaan penuh selama dua tahun di Pusat Latihan Beras MADA (MRTC) Kedah bermula Januari 2026,” ujarnya.
Selaras dengan usaha Sarawak memperkukuh tadbir urus dan rangka kerja institusi industri padi dan beras, Kabinet Negeri telah meluluskan penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak.
Ia akan bertindak sebagai pihak berkuasa pusat untuk menyelaras mengawal selia dan menyelia semua aspek industri beras di Sarawak.