DUN Sarawak: Dataran Lusong Laku berpotensi jadi hab penanaman padi komersial

Disiarkan pada 27 Nov 2025
Sumber Berita: TVS

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail. Foto UKAS

KUCHING, 27 Nov: Kerajaan Sarawak melihat dataran Lusong Laku sebagai kawasan berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai projek pertanian berskala komersial yang mampu memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, kementeriannya mengambil maklum cadangan pembangunan pertanian di kawasan berkenaan dan menegaskan sebarang perancangan mesti dibuat dengan kerjasama dan penyertaan penduduk tempatan.

“Setakat ini, Jabatan Pertanian Sarawak telah telah menjalankan kajian kesesuaian tanah di kawasan Lusong Laku. Hasil kajian awal mendapati kira-kira 700 hektar tanah di kawasan tersebut sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan penanaman padi secara komersial,” katanya.

Sehubungan itu jelas beliau, kementeriannya melalui Jabatan Pertanian akan mengenal pasti status pemilikan tanah dan mengadakan sesi libat urus dengan penduduk setempat sebelum sebarang model pembangunan dimuktamadkan.

Pada masa sama, beberapa pendekatan yang akan diambil bagi memastikan komuniti tempatan tidak terpinggir sekiranya pertanian komersial dilaksanakan di dataran Lusong Laku.

Beliau menambah, sekiranya aktiviti pertanian berskala komersial dimajukan di dataran Lusong Laku, penduduk setempat berpotensi menikmati pelbagai manfaat sosioekonomi.

“Antaranya peluang pekerjaan baharu, pendapatan tambahan melalui penyertaan komuniti, pemindahan teknologi dan kemahiran pertanian moden, pemerkasaan usahawan tani serta keterjaminan bekalan makanan ruji yang lebih terancang kepada komuniti setempat.” jelas beliau.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berhubung cadangan untuk membangun kawasan dataran Lusong Laku sebagai hab pengeluaran makanan berimpak tinggi di DUN Sarawak hari ini. – TVS