Tambah baik sistem perparitan elak banjir jejas hasil pertanian

Posted on 22 Sep 2025
Source of News: TVS

Dato Sri Lee Kim Shin pada lawatan tapak kerja-kerja penyelenggaraan longkang tanah sedia ada di Sungai Adong, Miri, hari ini. Foto TVS

MIRI, 22 Sept: Kerajaan memberi perhatian berterusan terhadap penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem perparitan di kawasan pertanian bagi mengelakkan masalah banjir yang boleh menjejaskan hasil tanaman.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata usaha itu dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Miri dengan kerjasama Jabatan Pertanian serta pengusaha kebun tempatan.

“Projek pembersihan parit sepanjang lebih lima kilometer di Sungai Adong telah siap pada September lalu. Namun selepas tinjauan pagi ini, masih ada beberapa bahagian yang perlu ditambah baik.

“Saya minta DID mengkaji bersama penduduk supaya sistem perparitan dapat dipertingkatkan lagi,” katanya ketika melakukan lawatan tapak kerja-kerja penyelenggaraan longkang tanah sedia ada di Persatuan Penanam Nanas Daerah Miri, Sungai Adong, hari ini.

Menurutnya, kawasan berkenaan merupakan kawasan pertanian yang luas, justeru sistem perparitan yang baik amat penting bagi menjamin kelangsungan hasil kebun.

“Kita perlu bekerjasama demi kebaikan semua. Ini kawasan kebun, bukan kawasan kediaman. Kalau sistem parit baik, hasil pertanian juga lebih terjamin,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Senadin turut menggalakkan pengusaha nanas memperluaskan tanaman dengan varieti baharu ‘Sarawak Gold’ yang berpotensi besar untuk pasaran eksport.

“Kalau ada kilang tetapi bekalan tidak mencukupi, rugi juga. Jadi kita bantu dari segi pemasaran, bimbingan teknikal dan usaha meningkatkan produktiviti supaya pengusaha boleh menembusi pasaran eksport,” katanya.