Pertanian Sarawak masuk fasa moden

Posted on 23 Aug 2025
Source of News: TVS

Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan skim penyediaan jentera pertanian moden melalui Persatuan Peladang Negeri Sarawak bagi membantu petani meningkatkan hasil pengeluaran secara lebih berkesan. Foto Alex Teo (TVS)

BINTULU, 23 Ogos: Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan skim penyediaan jentera pertanian moden melalui Persatuan Peladang Negeri Sarawak bagi membantu petani meningkatkan hasil pengeluaran secara lebih berkesan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif tersebut selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh sektor pertanian melalui penggunaan teknologi moden.

“Kerajaan negeri akan menyediakan jentera pertanian yang diuruskan oleh Persatuan Peladang. Petani boleh menggunakannya dengan kadar sewaan berpatutan. Dengan cara ini mereka tidak lagi bergantung kepada cangkul, sebaliknya dapat mengusahakan tanah dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sarawak Agrofest 2025 di Lapangan Terbang Lama Bintulu, hari ini.

Abang Johari menjelaskan, mekanisasi pertanian mampu melonjakkan hasil pengeluaran berbanding kaedah tradisional yang mengambil masa lama.

“Dengan jentera moden, satu hektar sawah padi dapat disiapkan dalam masa kurang sejam, sedangkan secara manual memerlukan berbulan. Hasilnya juga meningkat sehingga lapan metrik tan sehektar, berbanding hanya satu tan sebelum ini. Ini bermakna pendapatan petani boleh meningkat sehingga lapan kali ganda,” ujarnya.

Beliau menambah, transformasi pertanian Sarawak perlu berpaksikan ekonomi digital serta kecerdasan buatan (AI) bagi mengoptimumkan penggunaan tanah.

“Dengan teknologi digital dan AI, kita boleh menentukan baja yang sesuai mengikut jenis tanah, sekali gus meningkatkan kesuburan dan hasil pertanian,” jelasnya.

Katanya, pendekatan moden itu juga penting untuk memanfaatkan tanah terbiar agar tidak disia-siakan.

“Kita tidak boleh biarkan tanah menjadi belukar. Dengan teknologi moden dan sistem pengairan baik, tanah tersebut mampu berubah menjadi jelapang makanan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Abang Johari turut menekankan kepentingan ekonomi kitaran dalam pembangunan sektor makanan.

“Semua hasil boleh digunakan semula. Inilah ekonomi kitaran yang bukan sahaja menjana pendapatan, tetapi juga menggerakkan ekonomi negeri,” ujarnya.-TVS