Nanas SG1 kini jadi buruan

Disiarkan pada 25 Jul 2025
Sumber Berita: TVS


Mohd Khairuzamri M. Salleh (tiga dari kiri) dan Datu Sirai Daha (tiga dari kanan) selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Peringkat Sarawak. Foto Muqri Aziz (TVS)
 

KOTA SAMARAHAN, 24 Julai: Varieti nanas premium Sarawak Gold 1 (SG1) kini mencuri tumpuan seluruh negara apabila berjaya mencatat hasil tuaian dua kali ganda berbanding varieti sedia ada sekali gus menjadikan Sarawak sebagai negeri yang bakal merampas kedudukan teratas industri nanas Malaysia.

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M. Salleh, menyifatkan SG1 sebagai pengubah kepada industri khususnya bagi sektor pemprosesan yang amat memerlukan bekalan bahan mentah secara konsisten dan berkualiti tinggi.

“Dalam dua tahun, MD2 hanya hasilkan kira-kira 30 tan sehektar. Tapi SG1 mampu keluarkan hingga 60 tan sehektar dalam masa hanya sembilan bulan berbanding MD2 yang matang hampir dua tahun,” katanya ketika berucap pada Hari Bertemu Pelanggan LPNM Sarawak hari ini.

Khairuzamri berkata, SG1 merupakan varieti premium pertama dari Sarawak yang diiktiraf sebagai unggul selepas MD2 dan telah mula menarik perhatian pengusaha industri nanas di Semenanjung Malaysia meskipun Sarawak kekal sebagai pelopor dan pengeluar utama dengan lebih 150 hektar sudah diusahakan.

“Hampir setiap hari saya terima panggilan dari Semenanjung bertanya tentang SG1. Tapi perlu ingat, SG1 lahir di Sarawak, bukan di tempat lain,” ujarnya.

Beliau berkata, dengan tumpuan kepada varieti premium seperti SG1, MD2 dan Moris, Sarawak sedang membentuk gelombang baharu dalam industri nanas tempatan iaitu memperkukuh kedudukan sebagai negeri kedua selepas Johor namun dalam kedudukan terbaik untuk mengungguli industri nasional dalam masa tiga hingga empat tahun akan datang.

“Sarawak ada tanah luas, minat rakyat tinggi dan kini varieti nanas unggul sendiri. Semua ramuan untuk kejayaan sudah ada, inilah masa Sarawak untuk bersinar di pentas global,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD, Datu Sirai Daha berkata, Kerajaan Sarawak menyasarkan perluasan 20,000 hektar ladang nanas menjelang 2030 berbanding sasaran nasional LPNM iaitu 30,000 hektar.

“Kalau ini berjaya, Sarawak tidak mustahil akan jadi pengeluar nanas terbesar negara malah antara yang utama di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, matlamat Sarawak bukan sekadar bersaing dengan negeri lain tetapi untuk mencipta ekosistem industri nanas yang mampan dan memberi manfaat besar kepada pekebun kecil, pengusaha industri dan ekonomi negeri.-TVS