UPM Bintulu dijenamakan semula sebagai UPM Sarawak

Disiarkan pada 19 Jun 2025
Sumber Berita: Suara Sarawak

Rundi menyempurnakan penyampaian penghargaan jasa bakti pesara Jabatan Pertanian Sarawak sempena Majlis Apresiasi Jabatan Pertanian Sarawak di sebuah hotel terkemuka di Kuching, hari ini. - Gambar Ghazali Bujang
 

KUCHING: Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) akan dikenali secara rasmi sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) bermula 30 Jun ini, dalam usaha memperkukuh peranan institusi itu sebagai tunjang pembangunan sektor pertanian dan teknologi hijau di Sarawak.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata penjenamaan semula itu membolehkan perancangan pendidikan dan penyelidikan disesuaikan dengan keperluan sebenar negeri ini, termasuk dalam bidang perubatan veterinar, tenaga hijau dan hidrogen.

“Apabila ia dikenali sebagai UPM Sarawak, kita boleh merancang dengan lebih mudah. Kita tahu apa yang kita perlukan dalam bidang pertanian – kita yang tentukan, bukan pihak lain,” katanya ketika ditemu-bual pada Majlis Apresiasi Jabatan Pertanian Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Beliau menambah, langkah itu juga menandakan satu lagi pencapaian besar buat Sarawak dalam memperkasa bidang pendidikan tinggi milik negeri, selepas kejayaan universiti seperti Swinburne Sarawak dan Curtin Malaysia.

Justeru, Rundi berkata akan bersama-sama Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke majlis pengisytiharan rasmi nama baharu UPMS yang dijadualkan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang pada 30 Jun ini.

Katanya dengan penjenamaan semula itu, UPMS dijangka memainkan peranan lebih strategik dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang pertanian moden, bioteknologi serta tenaga boleh diperbaharui yang amat diperlukan oleh Sarawak.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri kini dalam perancangan untuk memperhalusi aspek yuran dan pengurusan universiti agar selaras dengan model universiti milik negeri.

“Ini adalah impian yang menjadi kenyataan. Kita bangga kerana semakin banyak institusi pendidikan tinggi yang membawa jenama Sarawak. Dari sinilah kita mula merancang masa depan,” katanya.