Penubuhan SARTECH di Semenggok bakal pemangkin transformasi pertanian di Sarawak

Posted on 26 Nov 2024
Source of News: Suara Sarawak
SARTECH
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-100 Jabatan Pertanian Sarawak. Foto kredit UKAS.
 

KUCHING: Penubuhan Kompleks Taman Agroteknologi Sarawak (SARTECH) di Semenggok bakal menjadi pemangkin utama kepada transformasi sektor pertanian di Sarawak.

SARTECH akan menfokuskan kepada penyelidikan, pembangunan dan aplikasi teknologi moden.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kompleks itu akan mengintegrasikan pelbagai inisiatif dan menjadi pusat kepada inovasi pertanian.

Katanya, ia sejajar dengan aspirasi negeri ini untuk menjadi pengeksport bersih makanan menjelang 2030.

“Kita mencadangkan kompleks besar di Semenggok yang boleh menampung pusat penyelidikan pertanian dan produk.

“Ia dapat menampung kesemua pemeriksaan, kesemuanya termasuk hospital dan sebagainya,” katanya berucap pada pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-100 Jabatan Pertanian Sarawak di sebuah hotel di sini malam tadi.

Majlis disempurnakan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Rundi turut berkata, kementeriannya juga telah berbincang dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menubuhkan sekolah veterinar di kompleks tersebut.

Dan idea untuk menubuhkan sekolah veterinar itu turut diluluskan oleh Senat UPM, katanya.

“Kita mempunyai 10 hektar tanah yang tersedia untuk dimanfaatkan.

“Oleh itu, saya yakin bahawa Sarawak mempunyai idea yang berpotensi menjadi pengubah keadaan bagi negeri ini,” ujarnya.