News

 

Sarawak pengeksport makanan bersih masa hadapan

Posted on 11 Nov 2024
Source of News: TVS

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba bagi Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Yang Kesembilan Belas di Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya Kuching. Foto Nadim Bokhari (TVS)

KUCHING, 11 Nov: Pertanian terus menjadi sektor penting dalam memacu ekonomi Sarawak dan berada pada kedudukan keempat dalam menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak komited melakukan transformasi dengan memanfaatkan teknologi dengan mengutamkan keselamatan makanan dan meletakkan wilayah ini sebagai pengeksport makanan bersih pada masa hadapan.

“Pada masa ini Sarawak sedang memajukan perindustrian agromakanan untuk mendorong transformasi ini dan mewujudkan rantaian bekalan yang kukuh bagi komoditi penting seperti nanas, kelapa, pisang, durian, udang, ikan dan lembu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan cadangan Belanjawan Negeri 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Pada masa sama menurutnya, Kerajaan Sarawak menggalakkan pelaburan sektor swasta dalam pertanian komersial dengan memperluas kawasan pengeluaran makanan.

“Belanjawan 2025 akan memperuntukkan RM6 juta untuk meneruskan pembangunan infrastruktur di pelbagai taman agro.

“Untuk menyokong penternakan udang, RM20.9 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Taman Akuakultur Loba Stoh di Rambungan manakala bagi perikanan darat, RM9.5 juta untuk membangunkan taman akuakultur di Samariang Batu,” ujarnya.

Dengan pengeluaran padi Sarawak kini hanya memenuhi 32 peratus daripada pemintaan wilayah ini, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak komited untuk mengubah sektor padi dan beras menjadi industri yang mampan.

“Setakat ini, lebih kurang 14,000 hektar telah ditetapkan untuk penanaman padi di seluruh Sarawak. Bagi infrastruktur padi, satu skim bernilai RM1.0 bilion diluluskan dan RM51 juta akan diperuntukkan pada 2025.

“Kawasan penanaman yang difokuskan merangkumi Stumbin Bijat, Lingga-Banting, Seduku, Gran dan Entulang, Tanjung Purun, Lubok Punggor, Sundar dan Limbang. Di samping itu, sejumlah RM50 juta telah disediakan untuk pembelian tanah khususnya bagi Skim Padi Tanjung Purun, Kuching,” jelasnya.

Mengenai program pembiakan lembu, beliau berkata, sebanyak RM10.6 juta diperuntukkan pada 2025 untuk mewujudkan ladang pembiakan di Kuching, Serian dan Betong.

“Pusat ini akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mendorong pembiakan lembu yang efisien dan mampan selain menyokong Sarawak ke arah peningkatan kebergantungan kepada daging lembu luar,” kata Abang Johari. -TVS