KUCHING, 5 Nov: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) komited mengurangkan kemasukan serangga perosak yang berisiko tinggi memusnahkan tumbuhan terutamanya tanaman-tanaman utama di wilayah ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, melalui buku garis panduan baharu yang dilancarkan Jabatan Pertanian Sarawak, usaha itu dilihat dapat memastikan produk yang diimport adalah berkualiti dan selamat untuk diguna pakai oleh penduduk di Sarawak.
Katanya, buku bertajuk Garis Panduan Permohonan Pengimportan Tumbuhan, Produk Tumbuhan dan Artikel Terkawal yang diterbitkan itu bertujuan memastikan perdagangan pertanian di wilayah ini sentiasa kekal selamat dan dapat dipatuhi oleh semua pihak.
“Ia penting (pelancaran buku garis panduan) kerana kita tidak mahu kemasukan perosak-perosak terutamanya serangga yang merosakkan semua tanaman kita, lebih-lebih lagi tanaman utama yang kita sedang promosikan sekarang ini iaitu seperti pokok durian, pisang, kelapa dan nanas, termasuk juga tanaman lain seperti pokok kopi, sawit, getah dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Libat Urus Fasilitasi Perdagangan Pertanian 2024 di sini, hari ini.
Justeru, Abdul Rahman menegaskan, masalah berkaitan serangga perosak itu dapat diatasi dengan kerjasama semua pihak, terutamanya dengan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang berkaitan, selain memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kemudaratan yang dibawa oleh haiwan perosak berkenaan.
Sementara itu, jelas Abdul Rahman, Sarawak kini dalam proses mengeluarkan lebih banyak produk sendiri dan kementeriannya juga diamanahkan untuk menjadikan negeri ini sebagai pengeksport makanan bersih menjelang 2030, namun pada masa, tidak menghalang sepenuhnya pengimportan produk luar.
“Contohnya cili, kita boleh menghasilkan dan mengeluarkannya sendiri di Sarawak tetapi ada kalanya kita lebih banyak mengimport cili terutamanya dari Vietnam.
“Jadi, sudah pasti ia akan menjejaskan industri cili di Sarawak itu sendiri dan perkara itu perlu kita pertimbangkan dalam usaha untuk membangunkan sektor pertanian di Sarawak seterusnya menjadi pengeksport makanan bersih menjelang 2030,” ujarnya. – TVS