News

 

Sarawak bangunkan 20,000 hektar kawasan tanaman padi

Posted on 12 Oct 2024
Source of News: TVS


Foto fail TVS
 

KUCHING, 12 Okt: Rancangan membangunkan lebih 20,000 hektar kawasan tanaman padi berskala besar merupakan usaha Kerajaan Sarawak mengeluarkan beras sehingga 400,000 tan metrik setahun di wilayah ini seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada beras import.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tumpuan kerajaan dalam sektor pertanian adalah kepada pertanian komersial yang merupakan komitmen jangka panjang.

Menurutnya, ia merupakan usaha mentransformasikan sektor pertanian ke arah pertanian moden lebih produktif dengan hasil lumayan dengan memanfaatkan teknologi masa kini.

“Keyakinan ini adalah berdasarkan kejayaan projek rintis penananam padi hibrid di Kampung Lubok Punggor, Gedong awal tahun ini.

“Untuk itu, kita merancang membangunkan lebih 20,000 hektar kawasan tanaman padi berskala besar di Lundu, Simunjan, Gedong, Sri Aman, Spaoh, Limbang dan Lawas. Dengan menggunakan teknologi baharu dan kepelbagaian padi hibrid, Sarawak akan menghasilkan padi yang boleh dituai sebanyak lima kali dalam tempoh dua tahun.

“Ini sudah tentu mampu meningkatkan pengeluaran padi Sarawak dan membantu petani di wilayah ini meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-78 Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Padang Merdeka hari ini.

Menurut Abang Johari, Kerajaan Sarawak komited untuk mencapai 100 peratus pengeluaran padi bagi menampung keperluan penggunaan 2.9 juta penduduk di wilayah ini menjelang 2o30.

Tambahnya, usaha tersebut didorong semangat kerja kuat dan sekiranya ada lebihan padi, ia boleh dijual di luar negara.

“Sarawak diramal berupaya mengeluarkan padi untuk lima musim dalam tempoh 24 bulan menerusi kajian produktiviti yang dilakukan dengan kerjasama pakar dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berpotensi mengeluarkan hasil sebanyak lapan tan metrik untuk kawasan berkeluasan satu hektar berbanding 1.2 tan metrik sebelum ini.

“Ketika ini Sarawak hanya mampu mengeluarkan 36 peratus pengeluaran padi setakat dilaporkan pada Mac lepas,” ujarnya.-TVS