GEDONG: Sebanyak 15,000 benih udang galah dilepaskan di dua lokasi di Batang Krang, Gedong pada Sabtu.
Pelepasan benih udang galah tersebut telah dilakukan oleh Wakil Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais bersama Pegawai Pertanian Bahagian Samarahan, Hamzah Abu Bakar serta Pemanca Abang Ronnie Abang Sa'adeli dan Penghulu Adian Salleh.
Objektif utama program itu diadakan bagi menambah populasi udang di sungai tersebut sekali gus dapat membantu menjaga keseimbangan ekosistem di sungai berkenaan.
Program anjuran Jabatan Pertanian Sarawak melalui Jabatan Pertanian Simunjan dengan kerjasama Persatuan Komuniti Nelayan Batang Krang Gedong (PKBKG) tersebut bukan sahaja dapat merancakkan lagi sektor perikanan malah mampu meningkatkan sumber pendapatan para nelayan di sekitar Gedong.
Dato Sri Mohd Naroden Majais ketika ditemui berharap agar program itu terus dilaksanakan sebagai aktiviti tahunan di daerah itu.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Daerah Gedong Japar Mustapa, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Simunjan Jakaria An, Pegawai-Pegawai Pertanian Bahagian Samarahan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Zon Gedong serta Ahli-Ahli PKBKG. -EDISI UKAS