News

 

Petani muda diseru teroka pertanian pintar yang lebih menguntungkan

Posted on 25 Sep 2024
Source of News: TVS

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diberi penerangan oleh Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak di Kota Samarahan, hari ini. Foto Nadim Bokhari (TVS)
 

KOTA SAMARAHAN, 25 Sept: Golongan muda di Sarawak disaran menceburkan diri dalam bidang pertanian pintar dalam usaha merealisasikan hasrat Kerajaan Sarawak untuk menjadi negeri pengeksport makanan menjelang tahun 2030.

Menteri Industri Makanan, Komiditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata para pemain industri perlu bergerak seiring dengan transformasi sektor pertanian moden dalam mengejar cita-cita itu sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah para petani.

“Seorang jurutera mekanikal di Bintulu mahu menjadi petani dan kami berikan setengah hektar tanah di Sibiew dan dia berjaya menghasilkan tanaman buah tembikai, daun sup, kangkung dan sebagainya sehingga kini mampu menjana pendapatan sehingga RM9,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) di sini, hari ini.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Pengerusi PPNS Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata pencapaian keuntungan bersih PPNS yang direkodkan tahun lalu menunjukkan peningkatan yang amat ketara berbanding 2022.

Pada 2022, keuntungan bersih yang dicapai berjumlah RM415,046 manakala pada tahun lepas mencecah sehingga RM2.3 juta.

Unjuran keuntungan pada tahun ini pula dijangka mencecah RM3.5 juta.

Mengenai bangunan baharu PPNS yang terletak di Jalan Al Muttaqin Kota Samarahan, ia menelan belanja RM20 juta yang diluluskan Abang Johari sebelum ini.

Bangunan tersebut merupakan pusat sehenti yang holistik dalam memberi perkhidmatan kepada golongan petani dari segi perolehan input pertanian, pemasaran produk serta khidmat latihan dan kursus teknikal.

Antara fasiliti yang terdapat di bangunan tersebut termasuk Peladang eShop, dewan serbaguna, galeri jualan, pusat perniagaan, Agri Input Kiosk dan Farmers Market.

Untuk gudang PPNS yang dijangka mula dibina pada suku pertama tahun hadapan pula, Abang Johari telah meluluskan peruntukan RM17 juta untuk tujuan itu.

Projek pembinaan gudang tersebut dijangka siap pada suku keempat 2026. – TVS