News

 

Perlis Berazam Setanding Sarawak Dalam Sektor Pengeluaran Padi

Posted on 17 Aug 2024
Source of News: UKAS

 
KUCHING: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli memuji kejayaan Sarawak dalam sektor pertanian, terutama pencapaian cemerlangnya menerusi projek penanaman padi.

Bercakap kepada media, beliau menzahirkan rasa kagum terhadap usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan Sarawak dan menyatakan keazamannya untuk menjadikan Perlis setanding dengan wilayah tersebut.

"Saya tumpang gembira melihat kejayaan Sarawak dalam penanaman padi dan hasil padi yang tinggi. Tahniah kepada kerajaan Sarawak!

"Semoga hubungan antara Perlis dan Sarawak dapat diperkukuh, walaupun keluasannya amat jauh berbeza, kami berazam untuk menjadikan Perlis setanding dengan Sarawak,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Jumaat.

Kunjungan hormat tersebut sempena lawatan rasminya ke Sarawak bagi menghadiri perasmian temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 yang akan berlangsung pada 17 Ogos ini di Stadium Sarawak.-Edisi UKAS