News

 

48 pekebun kecil sawit, lada di Meradong terima bantuan baja

Posted on 12 Jul 2024
Source of News: Utusan Borneo Online
Ding menyerahkan bantuan baja kepada pekebun kecil kelapa sawit dan lada dari daerah Meradong.
Ding menyerahkan bantuan baja kepada pekebun kecil kelapa sawit dan lada dari daerah Meradong.
 

BINTANGOR:  Seramai 48 pekebun kecil kelapa sawit dan lada di Meradong telah menerima bantuan baja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, senarai penerima bantuan tersebut adalah merupakan pekebun yang berdaftar di bawah Jabatan Pertanian Daerah Meradong.

“Program bantuan baja ini adalah merupakan insentif kerajaan Sarawak untuk membantu para pekebun kelapa sawit dan lada dalam mengusahakan aktiviti pertanian mereka terutama dalam membeli baja bagi membantu golongan tersebut dalam meningkatkan hasil pertanian mereka.

“Usaha ini juga membuktikan Kerajaan Sarawak sentiasa menitikberatkan untuk membangunkan sektor pertanian kerana sektor ini mempunyai masa depan yang luas dan sentiasa mendapat permintaan yang tinggi terutama yang berkaitan dengan penghasilan produk makanan.

“Justeru, kerajaan sentiasa fokus dan berusaha membantu golongan ini dengan pelbagai pendekatan agar sektor pertanian di negara ini terus bertahan dan berkembang serta mampu memenuhi keperluan semasa,” kata Ding.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Baja Kepada Pekebun Kecil Kelapa Sawit Dan Lada (BBKSL) 2024 Daerah Meradong Di Pejabat Pertanian Daerah Meradong, di sini, pada Khamis.

Dalam masa sama, Ding turut menyeru golongan pekebun dan petani di kawasan ini untuk mendaftar dengan Jabatan Pertanian agar mempermudahkan agensi kerajaan menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada golongan tersebut.

Katanya, pada masa kini, kerajaan melalui beberapa agensi yang telah dilantik banyak menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada golongan ini.

“Oleh yang demikian, kita berharap kemudahan dan peluang seumpama ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh golongan ini untuk melonjakkan sumber pendapatan dan juga meningkatkan taraf  sosial ekonomi mereka.

“Kita juga berharap pada masa hadapan lebih ramai lagi golongan muda terlibat dengan bidang ini, kerana konsep pertanian pada masa kini adalah perniagaan.

“Jika bidang ini diusahakan dengan berskala besar dan secara komersial, kita yakin ia mampu menjana pendapatan yang lumayan,” jelas Ding lagi.

Pada majlis yang sama juga, Ding turut menyerahkan Geran Khas bernilai RM2,000 kepada Jabatan Pertanian sempena majlis tersebut.

Hadir sama dalam majlis ini ialah wakil Pegawai Pertanian Bahagian Sarikei, Bajai  Entili, Pegawai Pertanian Daerah Meradong, Yunus  Akup dan Pemanca Yii Hee Sieng.